Miami: Jurulatih Portugal, Roberto Martinez menolak kebimbangan mengenai persiapan pasukannya menjelang perlawanan penutup kumpulan Piala Dunia menentang Colombia apabila menegaskan perancangan berbulan-bulan menjadikan mereka ‘benar-benar bersedia’ walaupun ribut di Florida mengganggu persiapan.
Martinez berkata pasukannya sudah mendapat manfaat dengan memulakan persiapan sejak Mac untuk perlawanan di Stadium Miami.
“Kami mula bersedia untuk perlawanan menentang Colombia sejak Mac..Kami sudah menjalani 13 sesi latihan di di Miami untuk menyesuaikan diri dengan cuaca.
“Rancangan kami adalah untuk kekal di Miami (Florida) bagi persiapan menentang Colombia.
“Pemain sudah bersedia untuk cabaran fizikal bermain di stadium berbeza dan di padang berbeza yang menggunakan jenis rumput berbeza daripada di Eropah. Itulah yang kami lakukan, kami bersedia sejak hari pertama kami tiba di Amerika Syarikat (AS),” kata Martinez kepada media.
Walaupun Colombia sudah layak ke pusingan kalah mati dengan enam mata daripada dua perlawanan, Portugal berada di tangga kedua dengan empat mata dan hampir pasti mara.
Menduduki tempat kedua boleh memberi laluan lebih sukar di peringkat kalah mati dengan England atau Croatia berkemungkinan menjadi lawan.
Namun Martinez, yang kelihatan ceria dan sempat ketawa apabila lagu Dua Lipa dimainkan menerusi pembesar suara dan mengganggu sidang media berkata beliau tidak terlalu memikirkan laluan kejohanan.
“Tidak, ia tidak (penting). Jika ini Piala Dunia pertama saya, saya akan kata ‘ya’ kerana anda masih kurang pengalaman dan cuba merancang perjalanan untuk setiap kemungkinan tetapi anda akan sedar ia tidak realistik.
“Saya percaya fokus harus kepada memenangi setiap perlawanan, melupakan lawan seterusnya dan menghormati lawan. Jika anda mahu memenangi Piala Dunia, anda perlu menewaskan semua orang.”
“Anda mesti menerima kerumitan itu dan fokus harus kepada bermain sebaik mungkin,” katanya.
Martinez memberi amaran bahawa Colombia kendalian Nestor Lorenzo akan memberikan cabaran taktikal berbeza.
“Mereka mempunyai pemain seperti (kapten) James Rodriguez dan Luis Diaz..Mereka pantas dalam transisi dan sangat laju.
“Mereka bekerja sebagai satu pasukan, mempunyai taktikal yang jelas. Ada kualiti dalam pemain dan mereka sangat suka bermain untuk pasukan kebangsaan,” kata Martinez.
© New Straits Times Press (M) Bhd




