Arlington: Jepun akan memberikan ‘segala yang mereka ada’ dan menyatakan mereka mempunyai kemampuan untuk menewaskan Brazil pada pusingan 32 terbaik Piala Dunia di Houston, Selasa ini.
Skuad bimbingan Hajime Moriyasu mara ke pusingan kalah mati selepas keputusan seri 1-1 menentang Sweden di Stadium Dallas, semalam.
Mereka menamatkan saingan di tempat kedua di belakang juara Kumpulan F, Belanda, selepas satu kemenangan dan dua keputusan seri.
Kini pertandingan sebenar bermula apabila mereka berdepan pasukan Brazil yang dibarisi penyerang Real Madrid, Vinicius Junior dan dibimbing jurulatih berkaliber daripada Itali, Carlo Ancelotti.
“Tiada pentas yang lebih besar,” kata pertahanan Yukinari Sugawara selepas menentang Sweden.
“Kami perlu beri 120 peratus menentang Brazil dan untuk itu, kami perlu bersatu sebagai satu pasukan dan satu negara serta membuat persiapan dengan segala yang kami ada.”
Brazil yang memenangi Piala Dunia sebanyak lima kali akan menjadi pilihan untuk mara ke kelompok 16 terbaik di Amerika Utara.
Namun Jepun dianggap sebagai pasukan ‘kuda hitam’ yang mampu melangkah jauh dalam kejohanan ini dan pernah menewaskan Brazil 3-2 di laman sendiri dalam perlawanan persahabatan, Oktober lalu.
Moriyasu memberi amaran kepada anak buahnya bahawa semangat balas dendam mungkin bermain di fikiran Brazil.
“Mungkin kerana perlawanan itu, mereka akan lebih bermotivasi,” kata Moriyasu.
Pertahanan veteran, Shogo Taniguchi pula berkata kini semuanya adalah hidup atau mati.
“Selepas ini, jika kita kalah, semuanya akan berakhir. Kita perlu meningkatkan lagi tahap kita untuk perlawanan seterusnya.
“Kami tahu mereka pasukan yang kuat tetapi jika kami lakukan perkara yang betul, kami pasti boleh menang.
“Saya mahu mengganggap perlawanan ini seolah-olah final,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




