Ganja RM1 juta dalam bot fiber ditinggalkan di muara sungai

Ganja RM1 juta dalam bot fiber ditinggalkan di muara sungai

am@hmetro.com.my

Kangar: Pemeriksaan polis ke atas sebuah bot fiber nelayan tanpa nombor pendaftaran yang ditinggalkan di muara Kuala Sungai Baru, Simpang Empat di sini pada Selasa lalu menemukan ganja dianggarkan lebih RM1 juta.

Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim berkata, pihaknya menerima maklumat daripada komuniti nelayan di situ mengenai kehadiran bot mencurigakan.

Katanya, polis yang ke lokasi pada jam 2 petang membuat pemeriksaan ke atas bot berkenaan dan menemukan 409 ketulan mampat dadah disyaki ganja dianggarkan bernilai RM1.297 juta.

Menurutnya, bot berkenaan dipercayai ditinggalkan sindiket penyeludup dadah dalam tempoh 24 jam sebelum ditemukan pihak berkuasa.

“Pemerhatian dan tinjauan selama dua jam di sekitar kawasan berkenaan tidak menemui sebarang pergerakan keluar masuk di kawasan bot yang ditinggalkan itu.

“Polis percaya dadah akan diambil ahli sindiket untuk dibawa ke kawasan lain di Semenanjung Malaysia menerusi jalan darat,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar di sini hari ini.

Katanya, polis percaya ganja berkenaan dibawa dari negara jiran menerusi jalan laut oleh sindiket penyeludup dan menjadikan Perlis sebagai transit sebelum ia kemudian diangkut menggunakan laluan darat untuk diedarkan di Selatan tanah air atau Lembah Klang.

Beliau berkata, ganja yang dirampas juga dipercayai mempunyai tiga gred berbeza yang masing-masing dijual dengan harga yang berlainan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti sindiket terbabit.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top