am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Seminggu sebelum pertandingan, tiga burung ketitir milik Sabri Abdul Latif dari Pattani, Thailand sudah dijaga rapi terutama dari segi pemakanan.
Ketiga-tiga burung ketitir yang dipertandingkan untuk kategori berasingan itu diberi makanan yang berzat serta vitamin secukupnya sehingga seekor daripadanya muncul sebagai juara dalam Festival Unggas ASEAN 2025 yang dipertandingkan hari ini.
Sabri, 51, berkata, dia membawa tiga daripada 30 burung ketitir miliknya yang berusia enam bulan ke atas dan kerap memenangi banyak pertandingan yang disertainya.
“Pertandingan burung ketitir ini fokusnya adalah kepada suara dan sebagai persediaan sebelum bertanding, memang saya akan jaga betul-betul dari segi pemakanan.
“Dalam tempoh seminggu, makanan yang diberikan perlu mengandungi lebih zat dan vitamin untuk mengelakkan ancaman penyakit.
“Saya tiba di Kelantan sejak tiga hari lalu semata-mata untuk menyertai pertandingan hari ini dan Alhamdulillah, burung ketitir milik saya menjuarai kategori BB1 iaitu untuk berusia enam bulan,” katanya ketika ditemui di Taman Orkid Tengku Anis, Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.
Sabri berkata, sudah hampir 25 tahun dia memelihara burung ketitir malah menjadikan minatnya itu sebagai kerjaya kerana selain untuk diri sendiri, banyak juga burung miliknya dijual.
Katanya lagi, harga untuk seekor burung ketitir adalah antara RM15,000 sehingga RM30,000 bergantung kepada usia malah semakin kerap memenangi pertandingan, semakin mahal harga diletakkan.
“Dari segi penjagaan burung ketitir pula tidaklah susah, hanya jaga pemakanan sahaja dan untuk 30 ekor yang berada dalam jagaan sekarang, saya peruntukkan kira-kira RM300 sebulan bagi pembelian padi serta bijirin lain yang turut dicampur selain vitamin,” katanya.
Pertandingan julung kali yang diadakan itu disertai 902 peserta membabitkan Thailand, Singapura, Indonesia dan Brunei serta Malaysia sendiri sebagai tuan rumah.
Selain burung ketitir, lima lagi kategori yang dipertandingkan iaitu burung tekukur, candik, murai batu, ayam serama dan ayam batu.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor, festival itu mendapat sambutan memberangsangkan dari peserta tempatan termasuk Thailand yang disertai kira-kira 100 peminat unggas.
“Kita akan jadikan festival ini sebagai acara tahunan memandangkan penganjuran kali pertama ini sudah meriah sebegini dan cara ini juga mampu mempromosikan Kelantan sebagai dalam sektor pelancongan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

