16 pelajar MRSM Johor Bahru keracunan makanan

16 pelajar MRSM Johor Bahru keracunan makanan

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Kira-kira 16 orang pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Johor Bahru dilaporkan mengalami gejala muntah-muntah, cirit-birit dan demam, disyaki akibat keracunan makanan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata, sebaik menerima maklumat berhubung insiden itu daripada pihak MRSM kira-kira jam 2 petang tadi, Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru sudah diarahkan untuk mengambil tindakan selanjutnya.

“16 pelajar yang mengalami gejala telah dihantar ke beberapa fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta.

“Bahagian Keselamatan Makanan, Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru sudah bergerak ke MRSM berkenaan untuk menjalankan siasatan,” katanya ketika sidang media di Majlis Perasmian JumpX di sebuah pusat beli-belah di sini, hari ini.

Menurut beliau, dilaporkan, insiden itu bermula sejak malam tadi dan sehingga petang tadi, mereka yang bergejala adalah seramai 16 orang.

Katanya, walaupun punca keracunan masih belum diketahui, namun ia dipercayai makanan dari kantin dan sampel akan diambil oleh pihak pejabat kesihatan.

“Pihak pejabat kesihatan akan ambil sampel makanan dari kantin dan jumpa pelajar bergejala untuk mendapatkan maklumat bagi siasatan lanjut.

“Sementara ini, kita akan nasihat supaya operasi kantin berhenti sementara untuk kerja pembersihan dahulu, sehingga mendapat persetujuan bahagian kesihatan, barulah dibenarkan untuk beroperasi semula,” katanya.

Terdahulu, tular tangkap layar hantaran seorang pengguna media sosial Facebook mendakwa terpaksa bergegas dari Melaka ke Johor Bahru selepas anaknya mengadu muntah-muntah berkemungkinan akibat keracunan makanan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top