am@hmetro.com.my
Port Dickson: Wanita maut selepas tercampak keluar dari pintu belakang kereta dinaikinya yang terbuka secara tiba-tiba ketika melalui selekoh di Kilometer 26 Jalan Lukut – Sepang di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Maslan Udin berkata, dalam kejadian jam 8.20 pagi itu, mangsa berusia 39 tahun dilanggar sebuah lori tangki yang datang dari arah berlawanan.
“Kemalangan itu membabitkan sebuah kereta Perodua Myvi dan sebuah lori tangki minyak.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pintu belakang sebelah kanan kereta yang datang dari arah Sepang menghala ke Lukut terbuka secara tiba-tiba.
“Ia menyebabkan mangsa tercampak keluar sebelum dilanggar sebuah lori dari arah berlawanan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di bahagian kepala.
“Pemandu kereta seorang lelaki berusia 34 tahun tidak mengalami kecederaan manakala anaknya berusia lima bulan yang berada di tempat duduk hadapan menggunakan kerusi keselamatan juga tidak cedera.
“Pemandu lori tangki juga tidak mengalami sebarang kecederaan dan hasil semakan mendapati kedua-dua kenderaan mempunyai cukai jalan dan insurans yang masih aktif,” katanya.
Maslan berkata, ujian saringan urin terhadap pemandu kereta menunjukkan keputusan negatif dadah.
“Rakaman dashcam dari lori tangki sudah diperoleh untuk membantu siasatan Polis.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan buat masa ini, tiada unsur jenayah dikesan dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



