Berhabis lebih RM100,000 untuk capai impian bergelar Doktor Falsafah

Berhabis lebih RM100,000 untuk capai impian bergelar Doktor Falsafah

am@hmetro.com.my

Bachok: Demi ilmu, seorang bapa empat anak sanggup berhabis lebih RM100,000 sebelum berjaya menamatkan pengajian Doktor Pentadbiran Perniagaan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Dr Mohamad Idris Rosdi, 59, berkata, kos perbelanjaan itu tinggi memandangkan dia perlu berulang-alik dari Sarawak ke Kelantan sepanjang sembilan tahun pengajian.

Katanya, kos pengajian yang diambil sepatutnya hanya tiga tahun namun berlanjutan kepada sembilan tahun kerana berdepan bencana Covid-19 dan faktor jarak jauh tempat tinggal beliau dan universiti, selain bekerja.

“Saya sanggup berhabis dan ulang-alik kerana mahu lebih ramai masyarakat Melanau jadi orang yang berilmu, ada pendidikan tinggi.

“Kos saya termasuk perbelanjaan tiket kapal terbang, hotel dan lain-lain sepanjang pengajian jarak jauh (PJJ) ini,” katanya ketika ditemui di Majlis Istiadat Konvokesyen UMK ke-14, di Dewan Tuanku Canselor UMK Bachok, di sini, hari ini.

Beliau adalah seorang daripada empat graduan Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA) UMK bagi konvokesyen tahun ini.

Mohamad Idris berkata, dia bekerja sendiri dengan membuka perniagaan perkhidmatan latihan dan konsultasi di Miri, Sarawak.

Katanya, selain dia datang ke UMK Pengkalan Chepa untuk kelas, UMK turut membantu dengan menghantar pensyarah ke Sarawak untuk mengajar beliau.

“Saya akan ke kelas satu subjek sebulan dan Alhamdulillah berjaya juga menamatkan pengajian kerana saya sendiri yang memilih UMK untuk sambung pengajian kerana tertarik dengan konsep keusahawanan yang menjadi teras universiti ini,” katanya yang mempunyai latar belakang dalam bidang keselamatan profesional.

Kejayaan Mohamad Idris turut diraikan isteri, Rabiah Othman, 59, dan anak kedua mereka, Nurul Farhanah Mohd Idris, 32, dari Sarawak.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top