georgie@hmetro.com.my
KETIKA ini duo hip hop, Creepy Nuts dari Jepun meniti kemuncak karier selepas mendapat sorotan peminat antarabangsa sejak tahun lalu. Mereka juga kian menuai ramai pengikut di seluruh dunia.
Dianggotai R-Shitei, 34, dan DJ Matsunaga, 35, kombinasi mereka sememangnya cukup sempurna. Kedua-duanya memiliki pesona tersendiri dan paling terlihat jelas sewaktu beraksi atas pentas.Seperkara yang cukup penting lagi berjaya menaikkan nama mereka tentu sekali lagu-lagunya. Corak kreativiti ditumpahkan pada setiap karya mereka memiliki daya magis tersendiri.Misalnya, lagu Bling-Bang-Bang-Born yang berjaya memperkenalkan lagi nama mereka di mata dunia. Idea dan inspirasinya mudah menangkap emosi sekali gus memikat halwa telinga pendengar.Berkongsi sebalik pembikinan lagu mereka, R-Shitei percaya setiap aspek baik lirik ataupun melodi adalah sama mustahak. Menurutnya, hasil pemerhatian persekitaran mencetus kepada inspirasinya.”Contohnya daripada pengalaman sendiri apabila memerhati kejadian yang berlaku di sekeliling saya. Kemudian saya akan lanjutkan kepada mendalami emosi mengikut apa yang saya rasai.”Barulah menyusul penulisan lirik daripada pandangan sinematik. Kadang-kadang kalau bukan dari posisi sendiri, saya akan cuba sedaya upaya melihat dari sudut pandangan orang lain juga,” katanya.R-Shitei amat menitikberatkan perincian terhadap setiap karya dihasilkan. Namun, pada masa sama, peranan DJ Matsunaga juga katanya sangat besar dalam memastikan kreativiti mereka berganda.Justeru, keduanya saling memainkan peranan dalam melengkapkan tugas masing-masing setiap kali proses menyiapkan lagu. R-Shitei akan bertindak sebagai tunggak terakhir siapkan rakaman.”Kami akan mulakan dengan buat demo lagu di mana DJ Matsunaga yang menciptanya. Kemudian dia serahkan kepada saya untuk mencantikkan lagu itu dan saya serahkan semula kepadanya.”Proses itu berlaku secara ulang alik. Untuk bahagian rakaman pula, sebelum ini kami lakukannya secara berasingan. Namun, sejak baru-baru ini, saya mengambil alih tugasan itu,” katanya.Memulakan karier seni sekitar 2013, duo ini menempuh transisi yang cukup besar. Mereka awalnya bermula dari lingkungan muzik bawah tanah sebelum perlahan-lahan naik ke puncak.Bagaimanapun, DJ Matsunaga berkata, mereka mahu terus kekal dengan sifat ingin maju, namun pada masa sama jujur kepada diri sendiri. Masih banyak impian ingin dikejar mereka di depan.”Saya sentiasa cuba lakukan yang terbaik untuk setiap hal di depan mata. Saya tidak pasti masih samakah situasi sekarang, tapi apa yang saya berterusan lakukan adalah mengubah diri.”Saya akui bukan jenis pandai dalam hal pandang ke hadapan. Itulah membuatkan saya terfikir untuk lakukan saja apa mendatang depan mata iaitu berterusan mengejar cita-cita kami,” katanya.Satu kelebihan yang pasti membuatkan peminat tidak mudah lupakan pasal duo ini tidak lain kelincahan di pentas. Persembahan mereka sentiasa bertenaga dan menghibur sepenuh hati.Mereka mampu menukar suasana acara terutamanya konsert ke sebuah pesta yang penuh gempita. R-Shitei khususnya sebagai penyanyi utama salur penyampaian padu menerusi lirik-lirik lagunya.Berkongsi mengenai ritual tertentu sebelum naik ke pentas, R-Shitei berkata, tiada apa-apa rutin istimewa pun. Mereka lebih kepada membiarkan rasa semula jadi yang dialami ketika itu.”Biasanya kami lebih kepada meluangkan masa bersendirian. Saya sejenis sangat gementar dan berdebar. Tiada rutin tertentu pun, kadang-kadang bermain telefon bimbit dan lakukan apa yang diminta,” katanya.Baru-baru ini, Creepy Nuts bertandang buat pertama kali ke Malaysia bagi menghangatkan acara Central Music & Entertainment Festival 2025 in Kuala Lumpur yang berlangsung penuh meriah di Zepp Kuala Lumpur. Kehadiran ribuan penonton pada konsert malam itu nyata sangat berbaloi dengan sajian persembahan memukau daripada duo ini. Atmosfera cukup luar biasa dengan nyanyian peminat yang tahu lagu mereka.Menjadi artis penutup tirai, Creepy Nuts mempersembahkan rangkaian hit mereka termasuk Yofukashino Uta, Daten, 2way nice guy, japanese, Chxxai, Doppelg‰nger, BIRIKEN, Nidone, Otonoke, dan Bling-Bang-Bang-Born.Selain mereka, dua lagi artis terkemuka Jepun lain yang menghiburkan penonton adalah Tatsuya Kitani dan Atarashii Gakko!. Kumpulan tempatan iaitu K.O.I pula menjadi artis pembuka tirai.
© New Straits Times Press (M) Bhd



