Pemburu maut terkena tembakan senapang

Pemburu maut terkena tembakan senapang

am@hmetro.com.my

Kuantan: Enam lelaki ditahan semalam, susulan kes seorang lelaki berusia 62 tahun maut selepas terkena tembakan senapang buatan sendiri ketika melakukan aktiviti pemburuan di kawasan hutan Tebu Hitam, Rompin, kelmarin.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mereka yang ditahan itu berusia antara 35 dan 67 tahun.

Katanya, lima senapang patah buatan sendiri dan satu senapang patah Benelli Armi-Urbino bersama 25 butir peluru penabur turut dirampas untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960 yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000,” katanya dalam kenyataan.

Yahaya berkata, berdasarkan laporan, seorang lelaki berusia 54 tahun membuat laporan polis berkaitan kematian seorang lelaki selepas senapang patah buatan sendiri meletup.

Katanya, akibatnya, ia terkena jari kelengkeng tangan kanan mangsa sebelum mengenai sisi dada sebelah kanan, ketika keluar memburu bersama enam rakan di kawasan hutan Tebu Hitam, Rompin.

“Hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini semalam, mendapati punca kematian disebabkan ‘gunshot injury to the chest‘ dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Hasil siasatan lanjut, enam lelaki ditahan dan lima laras senapang patah buatan sendiri, satu laras senapang patah jenis Benelli Armi-Urbino dan 25 butir peluru penabur dirampas kerana terbabit dengan aktiviti pemburuan haram,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top