Muat naik kandungan jelik di TikTok, lelaki dikompaun RM10,000

Muat naik kandungan jelik di TikTok, lelaki dikompaun RM10,000

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Cyberjaya: Seorang lelaki dikompaun RM10,000 kerana memuat naik kandungan jelik melampau membabitkan sentimen kaum dan agama berkaitan isu pekerja Menara KL di aplikasi TikTok pada 31 Mac lalu.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan berkata, Mohamad Shafiq Abdul Halim dikenakan kompaun atas kesalahan berkenaan.

Katanya, tindakan itu diambil selepas mendapat izin pengkompaunan daripada Jabatan Peguam Negara dan hasil siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].

“Ia memperuntukkan larangan terhadap penggunaan kemudahan rangkaian, perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi bagi tujuan penyebaran kandungan yang bersifat lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik melampau,” katanya, hari ini.

Kenyataan itu berkata, semua pengguna media sosial dinasihatkan supaya sentiasa bertanggungjawab dan beretika dalam memuat naik atau berkongsi kandungan.

“Penyebaran kandungan berunsur jelik melampau, khususnya yang boleh menjejaskan sensitiviti agama, kaum atau institusi diraja, tidak akan dikompromi,” katanya.

Menurutnya, pihaknya tegas dalam memastikan ruang siber negara kekal selamat, teratur dan harmoni, selari dengan usaha memperkukuh perpaduan nasional serta keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top