Aguirre belum putuskan nasib Ochoa

Aguirre belum putuskan nasib Ochoa

Mexico City: Pengendali Mexico, Javier Aguirre enggan mengesahkan sama ada penjaga gol veteran, Guillermo Ochoa akan diturunkan dalam aksi terakhir Kumpulan A menentang Czechia di Mexico City, awal pagi ini.

Aguirre juga menolak dakwaan bahawa sebarang keputusan mengenai Ochoa akan dibuat atas dasar sentimental.

“Saya sudah katakan sejak kembali membimbing pasukan ini bahawa sesiapa yang berada di sini adalah kerana merit masing-masing,” katanya pada sidang media praperlawanan.

Laporan media sebelum ini menyebut Ochoa dijangka diberi peluang beraksi dalam perlawanan yang tidak lagi memberi kesan kepada kedudukan Mexico selepas mereka mengesahkan status juara kumpulan.

Ochoa mencipta sejarah apabila disenaraikan dalam skuad Piala Dunia buat kali keenam, namun masih belum diturunkan selepas Raul Rangel menjadi pilihan utama ketika Mexico menewaskan Afrika Selatan dan Korea Selatan.

Sekiranya diturunkan, Ochoa akan membuat penampilan dalam empat edisi Piala Dunia berbeza sepanjang kariernya.

Penjaga gol berusia 40 tahun itu berada di tangga ketiga senarai pemain dengan penampilan terbanyak Mexico apabila mengumpul 153 kaps antarabangsa.

Jumlah itu juga menjadikannya penjaga gol paling banyak beraksi untuk skuad El Tri.

Ochoa sebelum ini mengumumkan bahawa Piala Dunia 2026 akan menjadi kejohanan terakhirnya sebelum menamatkan karier sebagai pemain bola sepak profesional.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top