Algeria, Austria imbau luka lama

Algeria, Austria imbau luka lama

Atlanta: Apabila Algeria dan Austria bertemu dalam perlawanan terakhir kumpulan di Kansas City, awal pagi Ahad ini, ia bukan sahaja penting untuk peluang kedua-dua negara mara ke pusingan seterusnya Piala Dunia tetapi juga akan mengimbau kembali salah satu detik paling gelap dalam sejarah kejohanan itu.

Satu-satunya pertemuan sebelum ini antara kedua-dua pasukan berlaku apabila Austria dituduh berpakat dengan Jerman Barat bagi memastikan kedua-dua pasukan mara ke peringkat seterusnya sekali gus menyingkirkan Algeria.

Perlawanan itu kemudiannya dikenali sebagai ‘Tragedi Memalukan Gijon’ sempena bandar di Sepanyol yang menjadi lokasi salah satu insiden paling kontroversi dalam Piala Dunia 1982, edisi sulung penyertaan Algeria yang mengejutkan dunia apabila menewaskan Jerman Barat 2-1.

Ketika itu, Piala Dunia 1982 menampilkan 24 pasukan untuk kali pertama, dibahagikan kepada enam kumpulan membabitkan empat pasukan dengan dua pasukan teratas layak ke pusingan kedua.

Algeria tewas kepada Austria dalam perlawanan kedua kumpulan dan menewaskan Chile 3-2 sekali gus mengumpul empat mata daripada tiga perlawanan ketika sistem dua mata untuk kemenangan masih digunakan.

Perlawanan terakhir kumpulan berlangsung 24 jam kemudian di Gijon, di mana Austria bertemu Jerman Barat.

Kemenangan 1-0 untuk Jerman Barat sudah cukup untuk kedua-dua pasukan mara ke peringkat seterusnya.

Jerman Barat mendahului seawal minit ke-10 menerusi Horst Hrubesch namun selepas itu kedua-dua pasukan dilihat hanya bermain secara pasif dengan hantaran sesama sendiri tanpa usaha menyerang, sekali gus mengatur keputusan yang menyingkirkan Algeria berdasarkan perbezaan gol.

“Walaupun kami sudah menjangkakan perkara ini tetapi kami tetap marah, terkejut dan kecewa.

“Bahawa dua negara bola sepak besar sanggup bersetuju menyingkirkan negara kecil seperti Algeria yang baru pertama kali ke Piala Dunia, amat mengejutkan,” kata bekas pemain terbaik Afrika, Rabah Madjer.

Majalah sukan Jerman, Kicker menyifatkan aksi terbabit sebagai permainan yang hilang intensiti selepas 20 minit.

“Tiada lagi usaha menyerang. Austria juga tidak cuba memanfaatkan ruang. Tiada siapa berminat bermain bola sepak sebenar lagi. Hanya hantaran tanpa tekanan dan permainan hambar,” tulisnya.

Akhbar Perancis, L’Equipe pula menyatakan bahawa sepatutnya 22 kad merah dikeluarkan kepada pemain kedua-dua pasukan.

Penyokong di stadium mengibarkan selendang putih sebagai tanda protes manakala di pengulas televisyen di Austria ,Robert Seeger berkata ‘tutup saja siaran ini!’

Namun bekas pemain Jerman Barat, Paul Breitner tidak melihat ia sebagai satu masalah.

“Orang ramai tidak faham bahawa yang penting hanyalah kelayakan,” katanya.

Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) kemudiannya memutuskan bahawa kedua-dua pasukan tidak melanggar peraturan walaupun bermain secara pasif selepas bantahan daripada Algeria.

Jerman Barat akhirnya menjuarai kumpulan pusingan kedua dan mara ke separuh akhir sebelum tewas kepada Itali di final manakala Austria pula tersingkir di peringkat seterusnya.

Sebagai kesan langsung daripada insiden itu, FIFA memperkenalkan peraturan baharu supaya perlawanan terakhir kumpulan dimainkan serentak bagi mengelakkan manipulasi keputusan.

“Ramai orang meminta maaf selepas itu. Bagus apabila mereka mengakui kesilapan tetapi ia tidak mengubah apa-apa untuk kami,” kata Madjer.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top