Nurul Izzah tegas, unik – AMK

Nurul Izzah tegas, unik – AMK

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dilihat sebagai calon terbaik bagi jawatan Timbalan Presiden berdasarkan nilai kepemimpinan yang tegas dan unik.

Timbalan Ketua AMK Pusat, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, Keadilan sebagai wahana yang tegas dan terbukti setia pada idealisme sudah teruji dan terdedah kepada pelbagai ujian dan mehnah perjuangan.

Menurutnya, menginsafi hakikat itu adalah tugas utama mana-mana pimpinan dan anggota betapa tradisi demokrasi di dalam parti sudah melalui pelbagai fasa yang mematangkannya.

“Sebagai menyemangati hakikat itu, saya berkeyakinan bahawa Nurul Izzah adalah yang selayaknya untuk menyambung obor perjuangan bagi menjamin kelangsungan parti selain mempunyai keupayaan menjambatani idealisme dengan tuntutan realiti politik semasa,” katanya dalam kenyataannya di sini, hari ini.

Beliau yang juga Setiausaha Politik Menteri Kewangan berkata, merebut kuasa dalam gelanggang demokrasi adalah lumrah, namun apa yang utama adalah bagaimana kuasa diterjemah demi rakyat.

“Justeru, dalam usaha kita mengolah amanah dan harapan rakyat saat ini, ketokohan dan karisma ternyata menjadi penyuntik kekuatan dan semangat baharu di kalangan pimpinan dan anggota.

Sebagai memaknai hasrat itu, saya mempunyai keyakinan yang tinggi bahawa Nurul Izzah adalah calon terbaik untuk Timbalan Presiden.

“Ketokohan beliau teruji dengan asakan sistem yang zalim di masa lalu itu, melonjak kepemimpinan beliau ketika menjadi antara pengasas dan penggerak awal gerakan reformasi dan memastikan lahirnya Keadilan sebagai wadah untuk massa,” katanya.

Terdahulu media melaporkan, Nurul Izzah menegaskan akan membuat keputusan terbaik dalam mempertimbangkan cadangan akar umbi dan pimpinan parti yang mahukan beliau bertanding bagi merebut jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan hujung bulan ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top