Masalah bertimpa buat Bilbao di Old Trafford

Masalah bertimpa buat Bilbao di Old Trafford

Manchester: Harapan Athletic Bilbao untuk melakukan kebangkitan ajaib di Old Trafford awal pagi Jumaat ini semakin pudar apabila dua tonggak sayap mereka, Nico dan Inaki Williams, disahkan tidak akan beraksi dalam aksi separuh akhir kedua Liga Europa menentang Manchester United.

Nico, 22, langsung tidak disenaraikan oleh jurulatih Ernesto Valverde ke dalam skuad yang berlepas ke England, manakala abangnya Inaki turut diketepikan selepas mengalami kecederaan dalam aksi tanpa jaringan menentang Real Sociedad hujung minggu lalu.

Lebih malang, penjaring terbanyak musim ini Oihan Sancet (17 gol) juga tidak dibawa, menjadikan Bilbao kehilangan tiga tonggak utama ketika mereka sedang ketinggalan 0-3 secara agregat kepada Red Devils.

Ketiadaan trio utama ini dijangka memberi tamparan hebat kepada Valverde yang perlu mengharapkan keajaiban di Old Trafford, ketika United pula tampil dengan keyakinan tinggi di hadapan penyokong sendiri.

Bilbao, yang kali terakhir mara sejauh ini dalam kejohanan Eropah adalah pada 2012, kini hanya bergantung kepada semangat juang dan sisa-sisa harapan untuk mengejutkan United dalam 90 minit terakhir kempen mereka.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top