“Alhamdulillah, selepas hubungan kami kembali jernih, rezeki saya semakin melimpah.”
Demikian kata-kata penyanyi dan pengacara terkenal Singapura, Roslan Shah yang meluahkan rasa syukur apabila dihujani tawaran kerja sejak menjalinkan semula hubungan baik dengan penyanyi Ifa Raziah.
Roslan memaklumkan, mereka akan bergandingan dalam sebuah persembahan istimewa bersempena sambutan Hari Ibu di Singapura menerusi acara Raikan Bersama Ibu Tercinta.
“Alhamdulillah, tahun ini sangat bermakna kerana sejak kami berbaik, saya dan Ifa mendapat tawaran untuk membuat persembahan sempena Hari Ibu.
“Kami percaya, apabila sudah berdamai dan tidak lagi bermusuhan, rezeki akan sentiasa mengalir. Lagipun, tidak elok kami terus bergaduh sedangkan kami berkawan baik selama ini. Seeloknya kami saling bermaaf-maafan dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada kerjaya serta mencari rezeki bersama.
“Insya-Allah, saya dan Ifa bakal mengeluarkan single duet tidak lama lagi, tetapi fokus kami sekarang adalah persembahan sempena Hari Ibu yang bakal berlangsung di Fame by Dads Corner, Singapura pada 11 Mei ini,” katanya.

Roslan ditemui di majlis rumah terbuka Terbaek Raya anjuran mStar di The Agam, Sungai Penchala, baru-baru ini.
Dalam perkembangan lain, Roslan turut berkongsi hasrat untuk menunaikan ibadah umrah bersama Ifa sebagai simbol hubungan yang kembali terjalin dengan baik.
“Saya ada berbincang dengan Ifa untuk menunaikan ibadah umrah tahun ini dan harapnya menjadi kenyataan. Saya sebenarnya sangat gembira apabila peminat di Malaysia dan Singapura teruja melihat kami berbaik dan berkongsi satu pentas bersama.
“Jadi kalau boleh, di usia begini saya mahu jaga hubungan kami sebaik mungkin dan melakukan perkara yang baik bersama-sama termasuk menunaikan umrah,” katanya.
Roslan juga mendedahkan sambutan positif yang diterima daripada peminat sebaik pengumuman mengenai persembahan Hari Ibu itu dibuat.
“Sebenarnya, ini kali pertama kami disatukan dalam sebuah persembahan sempena Hari Ibu. Tak sangka cadangan saya kepada penganjur disambut baik. Malah, saya juga menerima banyak pertanyaan daripada peminat yang ingin menyaksikan persembahan kami.
“Persembahan ini akan menjadi detik yang diingati kerana ada segmen tangisan air mata. Nak tahu apa yang bakal berlaku, kena datang,” katanya.
Terdahulu, Roslan dan Ifa akhirnya menamatkan persengketaan selama tujuh tahun selepas bersemuka dan saling bermaafan atas konflik lama melibatkan dakwaan ugutan bunuh.




