najiy.jefri@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kerap menjadi mangsa kepada individu yang mengambil kesempatan, usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri, mengaku serik untuk memberikan pinjaman wang selepas berdepan pelbagai pengalaman ditipu dan gagal mendapatkan semula bayaran.
Aliff, 38, mendedahkan, dia menjadi mangsa kepada ramai individu termasuk rakan-rakan yang berpura-pura hidup mewah tetapi gemar meminjam wang dan enggan membayar balik sehingga jumlah keseluruhan hutang yang belum dilangsaikan kini mencecah kira-kira RM50 juta.
“Saya ada ramai kawan yang nampak kaya, tapi suka pinjam duit dan tak bayar. Akhirnya, saya pula kelihatan seperti pengemis bila minta semula hutang.
“Sebab itu saya hanya percaya isteri saya saja. Orang lain semua saya dah tak percaya,” katanya.
Bukan berniat untuk bersikap kedekut, Aliff menjelaskan dia berasa kecewa apabila kepercayaan terhadap janji peminjam sering dikhianati, hingga akhirnya terpaksa menanggung akibat.
“Sebelum ini, kalau ada yang nak pinjam RM1,000, saya beri saja dan anggap sebagai sedekah atau zakat. Sebab kalau saya anggap sebagai pinjaman, nanti boleh menimbulkan pergaduhan.
“Sebab itu sekarang saya pilih untuk lalui susah senang dengan isteri dan keluarga sahaja.
“Saya pernah pinjamkan kepada 50 orang, tapi seorang pun tak bayar balik. Bila saya dedahkan perkara ini, orang pula salah anggap dan tuduh saya ada niat tak baik. Memang serik,” katanya.
Bagi menuntut semula wang yang dipinjam, Aliff kini mengambil tindakan undang-undang dan sudah melantik peguam untuk mengendalikan kes berkenaan.
“Sekarang saya sedang usahakan untuk dapatkan semula hak saya melalui proses mahkamah. Jumlahnya lebih kurang RM50 juta.
“Ramai hanya tahu cerita di permukaan, tapi kes ini masih berjalan di mahkamah, jadi saya tak boleh ulas lebih lanjut,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




