mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Polis masih dalam proses merakam keterangan saksi lain termasuk anak kepada Datin Seri Pamela Ling Yueh, yang hilang pada 9 April lalu.
Setakat kelmarin, seramai 16 individu termasuk suami mangsa sudah dirakam percakapan namun anaknya yang berada di Singapura belum direkodkan keterangan.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, perkara itu (rakam keterangan) masih dalam tindakan pihak polis.
“Masih dalam tindakan, tiada perkembangan lanjut,” katanya tadi.
Terdahulu, Rusdi dilaporkan berkata, polis perlu melihat keperluan untuk memanggil semula suami kepada Pamela Ling, Datuk Seri Hah Tiing Siu untuk dirakam percakapan.
Menurutnya, lelaki itu sudah diambil keterangan polis selepas kejadian dan tidak menolak kemungkinan memanggil semula sekiranya ada keperluan seperti penemuan baharu siasatan atau memerlukan maklumat lanjut.
Dalam pada itu, polis meminta beberapa saksi termasuk anak-anak kepada Pamela Ling yang berada di Singapura agar tampil memberi keterangan kepada pihak polis bagi membantu siasatan kes penculikan wanita terbabit.
Bagaimanapun, sekiranya saksi gagal memberikan kerjasama, Rusdi dilaporkan berkata, pihak polis terpaksa mendapatkan bantuan pihak berkuasa Singapura.
Selasa lalu, media melaporkan siasatan polis menjurus kepada pembabitan suaminya dan beberapa individu lain.
Pasukan khas ditubuhkan bagi meneliti semua sudut termasuk motif serta kemungkinan kaitan dengan kes pengubahan wang haram.
Pamela, isteri kepada ahli perniagaan dari Sarawak, dilaporkan hilang selepas menaiki perkhidmatan e-hailing dari Cheras ke pejabat SPRM.
Saksi mendakwa kenderaan dinaikinya dihalang tiga kereta dan dia kemudian dibawa pergi oleh individu memakai pakaian polis.
© New Straits Times Press (M) Bhd