BAITULMAQDIS: Ketua Pengawal Revolusi Iran, Hossein Salami memberi amaran keras bahawa sebarang tindakan ketenteraan oleh Israel atau Amerika Syarikat (AS) terhadap negaranya akan ‘membuka pintu neraka’.
“Ini adalah amaran serius kepada pihak berkuasa Zionis dan Amerika… jika anda melakukan kesilapan paling kecil sekalipun, kami akan membuka pintu neraka untuk anda,” katanya dalam satu rakaman video yang disiarkan agensi berita Iran, Tasnim.
Amaran itu dikeluarkan susulan kenyataan keras Israel yang memberi ancaman akan bertindak terhadap Iran sebagaimana dilakukan ke atas HAMAS di Gaza, selepas kumpulan Houthi yang disokong Tehran menyerang Lapangan Terbang Ben Gurion.
Bersama Hizbullah dan HAMAS, Houthi adalah sebahagian daripada ‘paksi perjuangan’ Iran terhadap Israel serta sekutunya di rantau itu.
Houthi turut menegaskan bahawa serangan berulang kali yang dilancarkan terhadap Israel dan kapal-kapal di Laut Merah adalah sebagai solidariti dengan rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.
Israel sebelum ini membalas serangan peluru berpandu Houthi ke atas lapangan terbangnya pada Ahad lalu, dengan melancarkan serangan udara ke atas lapangan terbang di ibu negara Yaman, Sanaa serta tiga stesen janakuasa di negara berkenaan.
Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, dalam satu kenyataan, memberi ancaman kepada Iran bahawa negara itu akan bertanggungjawab secara langsung atas sokongan terhadap kumpulan Houthi.
“Apa yang kami telah lakukan terhadap Hizbullah di Beirut, HAMAS di Gaza dan Assad di Damsyik, akan kami lakukan juga pada anda di Tehran,” katanya.
Katz turut mengancam bahawa Tel Aviv mahu menyerang dengan serangan yang dahsyat. – HARAKAHDAILY 9/5/2025
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!