Kuala Lumpur: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan daripada Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza bersama suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa yang mewakili Yayasan Nurjiwa.
Menerusi satu kenyataan di media sosial rasmi beliau, Anwar memaklumkan pertemuan itu menyentuh pelbagai perkara termasuk peranan penting yang boleh dimainkan Siti dalam membimbing generasi baharu industri seni.
“Pelbagai topik dibincangkan, antaranya peranan penting yang boleh dimainkan Siti dalam mendidik serta menjadi contoh teladan kepada para penghibur dan artis muda masa kini,” katanya.
Anwar turut menekankan kepentingan kepelbagaian dalam persembahan seni agar kekal relevan dengan perubahan zaman dan kehendak generasi baharu.
“Kami turut menyentuh kepentingan kepelbagaian dalam persembahan seni agar sentiasa relevan dengan perubahan zaman dan kehendak generasi baharu,” katanya.
Perkongsian Anwar menarik perhatian ramai apabila turut menggunakan single hits penyanyi itu berjudul Seribu Kemanisan sebagai latar foto yang dimuat naik.
© New Straits Times Press (M) Bhd