Rempuhan maut, seorang tercampak mati

Rempuhan maut, seorang tercampak mati

am@hmetro.com.my

Hulu Selangor: Seorang maut manakala dua lagi cedera dalam nahas dua motosikal di lampu isyarat berhampiran stesen minyak di Jalan Kantan, Bukit Beruntung, di sini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Mohd Asri Mohd Yunus berkata, kemalangan jam 11 malam tadi, membabitkan motosikal KTM Duke dan Yamaha LC135.

“Siasatan awal mendapati penunggang KTM Duke adalah remaja berusia 18 tahun yang menunggang motosikal dari Bukit Sentosa menuju ke Jalan Jenjarum di sini.

“Semasa berada di lampu isyarat, motosikal itu dirempuh Yamaha LC135 ditunggang dua individu dari arah belakang,” katanya semalam.

Mohd Asri berkata, rempuhan itu mengakibatkan kesemua mangsa tercampak ke tengah jalan.

Menurutnya, penunggang Yamaha LC135 berusia 23 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemboncengnya berusia 38 tahun dibawa ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan.

“Penunggang KTM Duke pula dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk tujuan sama.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Saya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tampil membantu siasatan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top