Lelaki rentung, kenderaan terbakar selepas langgar pokok

Lelaki rentung, kenderaan terbakar selepas langgar pokok

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Seorang lelaki rentung selepas kenderaan pikap yang dipandunya melanggar sebatang pokok dan terbakar dalam kejadian di Persiaran Kuala Langat menghala ke Persiaran Hulu Langat di Seksyen 27, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, mangsa yang maut adalah seorang lelaki tempatan berusia 49 tahun.

“Dalam kejadian kira-kira jam 4.45 pagi tadi, mangsa yang memandu kenderaan pikap itu dipercayai hilang kawalan lalu melanggar pokok di bahu kiri jalan sehingga menyebabkan keretanya terbakar.

“Mangsa terperangkap dalam kenderaan dan tidak berjaya dikeluarkan sebelum api marak membakar keseluruhan kenderaan.

“Api kemudiannya berjaya dipadamkan oleh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam. Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Shah Alam untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mana-mana saksi bebas atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam,Inspektor Zaharizul Zamri di talian 019-3229097.

Katanya, kes disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top