Sudah lama menyepi, penyanyi Yonnyboii bukanlah menghilang atau lari dari industri seni hiburan tanah air sebaliknya, sibuk menghabiskan masa bersama anak sulungnya, Kairo.
Kata Yonnyboii ketika ditemui XTRA, dalam tempoh satu tahun ini, dia dan isteri, Nik Nazira Narriman fokus membesarkan anak mereka.
“Tempoh setahun lebih ini, saya banyak memberikan fokus kepada anak saya. Dan dalam masa empat tahun, saya nak berikan fokus yang lebih kepada anak berbanding karier.
“Tapi tak bermakna saya akan tinggalkan kerjaya saya. Saya ada studio sendiri, jadi bila ada kelapangan, saya tetap berkarya.Insha-Allah, bulan depan saya akan keluarkan single baharu.
“Pada saya buat masa ini saya nak ada lebih banyak masa bersama dengan dia sebab masa depan mungkin saya tak ada banyak masa sangat dengan dia. Orang kata momen beginilah yang kita sebagai ayah akan rindukan,” katanya.
Yonnyboii atau nama penuhnya, Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin berkata demikian ketika ditemui usai majlis sidang media Latihan Pestapora Malaysia yang diadakan di The Campus, Ampang baru-baru ini.
Mengulas lanjut, dia bersyukur kerana semenjak bergelar seorang ayah, ibu mentua dan isteri adalah tulang belakang yang banyak membantunya.
Sekaligus, mendedahkan dia tidak mempunyai pengasuh sejak anaknya itu dilahirkan kerana bimbang dengan pertolongan orang luar.
“Walaupun sibuk saya ada isteri dan mak mentua yang banyak membantu saya.
“Ini satu pengalaman yang baharu buat saya walaupun sibuk semua benda disenangkan. Saya harap dapat tengok anak saya membesar dengan baik.
“Kami pun memang tak ada pengasuh, semuanya kami lakukan sendiri.
“Sebab banyak isu yang tular macam kes culik, kes pukul dan kes di pusat penjagaan.
“Kalau sibuk macam mana pun, kami akan cuba juga untuk jaga anak sendiri. Kalau ada show di luar saya akan bawa anak juga sebab saya dan isteri kurang sikit percayakan orang luar,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, selain Yonnyboii, Hindia, Barasuara x Efek Rumah Kaca, Feel Koplo, Kunto Aji dan Pamungkas, Bittersweet, Bunkface, DOLLA, SonaOne, Salammusik dan ramai lagi artis Malaysia dan Indonesia akan bergabung menggegarkan Latihan Pestapora yang diadakan di The Surf Beach, Sunway Lagoon pada 26 Julai depan.