200 penduduk Putra Heights pertimbang ambil tindakan undang-undang

200 penduduk Putra Heights pertimbang ambil tindakan undang-undang

mhafis@mediaprima.com.my

Subang Jaya: Seramai 200 penduduk di Putra Heights yang terjejas dalam kebakaran saluran paip gas, bulan lalu mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang bertanggungjawab.

Peguam Tetuan REC Legal, Farhan Ghani yang mewakili penduduk berkata, setakat ini, tiga kali pertemuan diadakan pihaknya dengan penduduk Kampung Kuala Sungai Baru dan kawasan Putra Heights bagi memberi khidmat nasihat perundangan.

Menurutnya, sehingga hari ini, seramai 200 orang daripada 600 penduduk yang terjejas sudah bersetuju dan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang bertanggungjawab atas insiden itu.

“Kami datang hari ini untuk memberi pandangan dan kaedah perundangan yang boleh diambil penduduk bagi menuntut ganti rugi.

“Kita mahu lebih ramai yang setuju dan jika lebih ramai, kos untuk memfailkan tindakan perundangan akan lebih murah berbanding dibuat secara individu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi taklimat bersama penduduk terjejas di Putra Height, di sini, hari ini.

Farhan berkata, pihaknya akan bertanggungjawab menyediakan dokumen untuk memfailkan tindakan perundangan di mahkamah, yang mana kes ini turut dikendalikan Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak (HWAM).

“Ada penduduk yang tidak mahu mengambil tindakan undang-undang lagi buat masa ini atas beberapa faktor iaitu bantuan yang diterima sudah memadai dan insurans juga cukup (tampung) dengan nilai kerugian dialami mereka.

“Terdapat juga (penduduk) yang tidak pasti lagi nilai kerosakan sebenar kerana jika diteruskan, tindakan perundangan mereka tidak tahu nilai sebenarnya dan sebab itu, kita juga akan membantu menawarkan khidmat penilaian kerosakan,” katanya.

Beliau berkata, faktor lain, mangsa berhak untuk memilih peguam masing-masing menyebabkan ada penduduk yang belum bersetuju untuk bersama meneruskan tindakan perundangan berkenaan.

Kebakaran saluran gas Petronas pada 8.10 pagi 1 April lalu menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk padam sepenuhnya.

Kebakaran turut menyebabkan terbentuknya kawah berkedalaman 9.8 meter di lokasi kejadian.

Terdahulu, peguam kanan Tetuan REC Legal, Datuk Ahmad Redza Abdullah meluangkan masa hampir tiga jam menerangkan tindakan dan prosedur diperlukan jika penduduk ingin mengambil tindakan perundangan terbabit.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top