am@hmetro.com.my
Melaka: Polis menafikan dakwaan berlaku unsur buli dalam kejadian seorang murid lelaki yang terjatuh dari bumbung garaj basikal di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Berendam di sini, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 12.40 tengah hari ketika waktu pertukaran kelas.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa yang juga murid Tahun Lima dipercayai bertindak membaling kasut pelajar lain sehingga tersangkut di atas bumbung garaj basikal.
Katanya, murid lelaki terbabit kemudiannya cuba mengambil semula kasut rakannya dengan memanjat bumbung berkenaan.
“Semasa mangsa cuba memanjat semula ke tingkat satu bangunan sekolah, bahagian bumbung yang dipijak patah.
“Mangsa terjatuh dan mengalami kecederaan pada bahagian kaki kanan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa diberikan bantuan kecemasan awal oleh pihak sekolah sebelum dihantar ke Hospital Melaka dan kemudiannya dipindahkan ke Putra Specialist Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.
“Murid berkenaan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan disahkan mengalami keretakan kecil pada pergelangan kaki kanan,” katanya.
Tambah beliau, siasatan lanjut yang dijalankan pegawai penyiasat bersama pasukan siasatan jenayah, forensik serta saksi mendapati kejadian berlaku akibat kemalangan sendiri.
“Mangsa turut mengesahkan tiada sebarang unsur buli, penganiayaan atau pengabaian berlaku sebelum atau semasa kejadian,” katanya.
Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak benar berhubung insiden berkenaan sehingga boleh menimbulkan kegusaran masyarakat serta mengganggu siasatan.
Kes disiasat di bawah Kertas Enkuiri Polis (KEP).
Terdahulu, tular gambar di WhatsApp memaparkan sebuah ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia di sekolah berserta keterangan seorang murid Tahun 5 terjatuh dari koridor.
EXCO Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Negeri Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, beliau dimaklumkan kejadian berpunca daripada tindakan murid itu sendiri dan bukan faktor lain.
Murid terbabit dikatakan mengambil kasut sekolah rakan sebelum membalingnya ke atas bumbung.
© New Straits Times Press (M) Bhd




