am@hmetro.com.my
Kampar: Lelaki warga emas yang maut dirempuh lori ketika dalam perjalanan pulang dari masjid selepas solat Jumaat di Masjid Jamek Kampung Jeram, di sini, semalam sempat menyumbangkan pisang hasil tanaman sendiri untuk jemaah masjid itu.
Rohaiza Mazlan, 33, berkata ia adalah hasil pertama tanaman pisang berangan dari kebun kecil yang diusahakan arwah bapanya itu, Mazlan Ahmad, 68, di belakang rumah mereka yang terletak kira-kira dua kilometer (KM) dari masjid.
Menurutnya, Mazlan tiba awal di masjid iaitu jam 12.05 tengah hari sedangkan biasa keluar sekitar jam 12.30 tengah hari untuk solat Jumaat.
“Ayah membawa sekali pisang berangan hasil sulung pokok yang ditanamnya sendiri di kebun belakang rumah. Ayah memang sudah berniat hendak sedekahkan pisang ke masjid bila sudah masak.
“Kawan-kawan masjid ayah kata semalam dia nampak gembira lain dari kebiasaan, bahkan dikatakan juga membantu bentangkan sejadah untuk persiapan solat Jumaat, selain solat sunat.
“Lepas solat Jumaat biasanya ayah jadi antara orang paling akhir keluar masjid sebab dia suka bantu jawatankuasa masjid mengemas, tetapi semalam dia nampak macam terburu-buru hendak balik awal,” katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Kampung Gua Sanding, Jeram di sini hari ini.
Menurut Rohaiza, bapanya itu menunjukkan kelakuan ganjil apabila meminta ibunya, Rokiah Taharin, 73, memasak hidangan laksa malam kelmarin (Khamis) walaupun arwah tidak menggemari makanan itu.
“Walaupun ayah tidak makan laksa, tetapi emak masakkan juga dan bila disuruh makan ayah tetap tak mahu, hanya jawab nanti dia makan.
“Bila terjadi kejadian begini, baru kami sedar yang laksa itu sebenarnya bukan untuk dia (ayah), tetapi untuk adik-beradiknya iaitu pak cik dan mak cik saya memandangkan mereka memang sukakan laksa.
“Ayah macam beri petanda yang adik-beradiknya semua akan balik dan berkumpul hari Jumaat untuk menghadiri pengebumiannya,” katanya.
Jenazah Mazlan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jeram, di sini sekitar 10 malam tadi (Jumaat).
Bercerita lanjut, Rohaiza berkata sebagai anak sulung daripada 14 beradik, ayahnya memang disayangi dan dihormati dalam kalangan adik beradiknya.
Rohaiza yang juga anak tunggal, menyifatkan arwah ayahnya itu begitu mengambil berat tentang dirinya walaupun dia sudah berkahwin.
“Ayah akan telefon saya setiap hari walaupun kami duduk serumah… Dia nak tahu saya di mana, jam berapa balik. Sejak saya bujang sampai sudah berkahwin bahkan sudah dikurniakan dua anak pun seperti itulah perangai ayah.
“Sedih sebab bermula semalam saya sudah tidak akan terima panggilan daripada ayah lagi,” katanya.
Semalam, akhbar ini melaporkan Mazlan yang dalam perjalanan pulang dari masjid selepas solat Jumaat, maut selepas motosikal yang ditunggang dirempuh sebuah lori di Kilometer 26.5, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur, di sini, sekitar jam 2 petang hari yang sama.
© New Straits Times Press (M) Bhd




