am@hmetro.com.my
Lahad Datu: Dua mangsa yang hilang di Hutan Tamaco Tungku, di sini ditemui dengan selamat malam ini, manakala dua lagi masih hilang.
Kedua-dua yang belum dikenal pasti identiti dilaporkan berjaya keluar sendiri dari kawasan hutan selepas sesat sejak Khamis lalu.
Difahamkan mereka masuk ke hutan untuk mencari hasil hutan dan berpecah dua kumpulan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya sedang mendapatkan maklumat lengkap daripada mangsa yang boleh membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“SAR hari pertama dilaksanakan bersama agensi penyelamat lain, dijalankan dalam radius pencarian satu kilometer bermula dari lokasi aktiviti mangsa mencari hasil hutan.
“Ia terpaksa ditangguhkan pada jam 4 petang tadi disebabkan cuaca hujan lebat dan akan disambung esok,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan kehilangan empat individu selepas masuk ke hutan itu untuk mencari hasil hutan.
Mereka disedari hilang petang semalam selepas penyelia kepada seorang daripada mangsa menghubungi ahli keluarga disebabkan kegagalannya hadir bekerja pada Ahad.
© New Straits Times Press (M) Bhd




