Dua suri rumah didenda miliki wang orang lain dalam akaun bank

Dua suri rumah didenda miliki wang orang lain dalam akaun bank

am@hmetro.com.my

Seremban: Dua suri rumah masing-masing didenda RM400 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku salah atas pertuduhan memiliki wang orang lain di dalam akaun bank yang diperolehi secara penipuan.

Tertuduh, Noor Sabreena Mohd Tajud-din, 27 dan M Parameswari, 42, dijatuhi hukuman itu selepas membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli sejurus pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didapati memiliki harta dua individu berbeza yang diperolehi secara fraud yang mana tertuduh gagal memberikan penjelasan memuaskan bagaimana wang itu diperolehi ke akaun bank masing-masing.

Noor Sabreena didakwa memiliki wang sebanyak RM6,988 pada jam 5.22 petang 10 Oktober 2025 di sebuah rumah di Taman Labu Jaya.

Manakala Parameswari memiliki wang milik orang lain sebanyak RM1,000 pada jam 5.56 petang 19 September 2025 di Taman Ujong, di sini.

Oleh yang demikian, kedua-dua tertuduh telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 29(1) Akta Kesalahan- Kesalahan Kecil 1955.

Jika disabitkan, boleh dikenakan denda tidak lebih RM1,000 atau dipenjarakan sehingga setahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Hanis Anisha Jamilludin mencadangkan kepada mahkamah kedua-dua tertuduh dikenakan hukuman setimpal berbentuk pengajaran.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Chrysandy Lai yang mewakili Noor Sabreena memohon hukuman berbentuk denda yang minimum kerana tertuduh hanya seorang suri rumah beranak dua.

Manakala Peguam S Saccithananthan yang mewakili Parameswari turut memohon denda paling rendah kerana anak guamnya juga seorang suri rumah yang tiada pendapatan selain memberikan kerjasama penuh kepada polis.

Mahkamah turut menetapkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman penjara selama seminggu sekiranya gagal membayar denda.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top