London: Juara dunia 1997, Jacques Villeneuve, mencadangkan bahawa Oscar Piastri perlu menerima layanan istimewa daripada pengadil F1 berbanding Max Verstappen.
Piastri memulakan musim F1 2025 dengan cemerlang, memenangi empat daripada enam perlumbaan pertama.
Kejayaan itu meletakkan Piastri di tangga teratas dalam kedudukan pemandu F1, 16 mata di hadapan rakan sepasukan McLaren, Lando Norris, menjelang Grand Prix Emilia Romagna hujung minggu ini.
Piastri membuktikan dirinya sebagai pesaing yang hebat di litar dalam beberapa pusingan pembukaan musim ini.
Dia berentap sengit dengan Verstappen pada pusingan pertama Grand Prix Arab Saudi, dan pelumba Belanda itu dikenakan penalti masa lima saat akibat pertembungan itu.
Piastri turut bersikap agresif terhadap Kimi Antonelli pada pusingan pertama perlumbaan pecut di Miami namun, yang penting, dia berjaya mengelak penalti.
Villeneuve percaya bahawa Piastri mempunyai kelebihan dalam perebutan kejuaraan F1 tahun ini kerana dia kurang dikenakan penalti oleh pengadil.
“Oscar Piastri kelihatan tidak terjejas oleh tekanan dan dia mempunyai mentor yang baik, iaitu Mark Webber,” kata Villeneuve kepada Vision4Sport.
“Dia seseorang yang boleh menjadi tempat Piastri bergantung. Saya boleh mengatakan dia seperti seorang figura bapa, tetapi terdapat keseimbangan dan tenaga yang wujud antara mereka dan itu amat membantu.
“Piastri disayangi. Dia seperti ‘anak emas’ pada masa ini. Jika sesuatu berlaku, dia tidak akan mudah dikenakan penalti seperti Verstappen, contohnya. Itu juga kelebihan besar dalam perjuangan untuk merebut kejuaraan.”
© New Straits Times Press (M) Bhd




