Tekup muka kekasih dengan bantal hingga maut, lelaki dipenjara 32 tahun, 12 sebatan

Tekup muka kekasih dengan bantal hingga maut, lelaki dipenjara 32 tahun, 12 sebatan

am@hmetro.com.my

Klang: Mahkamah Tinggi Klang di sini, menjatuhkan hukuman penjara 32 tahun dan 12 kali sebatan terhadap bekas mekanik selepas didapati bersalah membunuh kekasihnya pada Ogos 2022.

Hakim Norliza Othman memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampau keraguan munasabah terhadap tertuduh, Amirul Amin Amirruddin, 23, di akhir kes pembelaan.

Hukuman itu diperintahkan bermula dari tarikh tangkap pada 24 Ogos 2022.

Mengikut kertas pertuduhan, Amirul Amin dituduh membunuh Nurul Shahira Abdullah, 24, di rumah lot bernombor 4475, Lorong Haji Mahat, Kampung Sri Pandan, Klang, 24 Ogos lalu jam 7.18 petang.

Justeru, dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati.

Dalam penghakimannya, Norliza memaklumkan hasil bedah siasat mendapati mangsa mati akibat lemas ditekup dengan bantal dan disahkan pakar patologi yang bertindak sebagai saksi pendakwaan.

“Ketika pemeriksaan balas, tertuduh mengakui ketika menekup muka si mati, dia melihat si mati bernafas dengan perlahan dan tersekat. Tindakannya menekup itu bagi menghentikan perlakuan agresif si mati.

“Tertuduh juga tahu bahawa tindakan itu boleh menyebabkan si mati tidak boleh bernafas kerana seluruh muka ditutup dengan bantal kerana manusia hanya bernafas melalui hidung. Tertuduh menghentikan perbuatan itu selepas mendapati mangsa tidak lagi melawan dan bernafas,” katanya.

Tegasnya, perbuatan tertuduh itu bermula daripada pergaduhan antara mereka apabila enggan menandatangani surat perjanjian supaya tertuduh tidak meninggalkan mangsa.

“Tertuduh juga bersetuju cadangan pihak pendakwaan semasa pemeriksaan balas bahawa ada cara lain menenangkan si mati selain menekup menggunakan bantal.

“Mahkamah mendapati tiada unsur provokasi melampau sehingga menyebabkan tertuduh bertindak menggunakan bantal itu. Tertuduh mempunyai lebih masa memikirkan tindakan lebih rasional dan menenangkan si mati apabila enggan menandatangani surat itu,” katanya.

Norliza kemudiannya menegaskan bahawa pembelaan tertuduh secara bersumpah di kandang saksi hanya bersifat penafian.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Aqilah Ahmad Fuad manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Norazihan Adnan dan Evie Melynda Jee.

Untuk rekod, tertuduh sebelum ini telah dipenjara tujuh tahun mengikut Seksyen 304b Kanun Keseksaan pada 17 Oktober tahun lalu.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan berjaya dalam rayuan terhadap hukuman itu dengan Mahkamah Rayuan memerintahkan tertuduh membela diri di Mahkamah Tinggi Klang mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top