Pemuda bunuh kekasih dipenjara 32 tahun 

Pemuda bunuh kekasih dipenjara 32 tahun 

KLANG: Pemuda dihukum penjara 32 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini selepas didapati bersalah membunuh seorang wanita selepas enggan menandatangani surat perjanjian yang dipaksa oleh kekasihnya itu pada empat tahun lalu.

Hakim Norliza Othman menjatuhkan hukuman itu selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampau keraguan munasabah terhadap tertuduh, Amirul Amin Amirruddin, 23, di akhir kes pembelaan.

Hukuman tersebut diperintahkan bermula dari tarikh ditangkap pada 24 Ogos 2022.

Norliza dalam penghakimannya berkata, mangsa Nurul Shahira Abdullah, 24, menerusi laporan bedah siasat didapati meninggal dunia akibat lemas kerana ditekup dengan bantal dan perkara itu disahkan oleh pakar patologi sebagai saksi pendakwaan.

“Ketika pemeriksaan balas, tertuduh mengakui semasa menekup muka si mati, dia melihat si mati bernafas dengan perlahan dan tersekat. Tindakannya menekup itu bagi menghentikan perlakuan agresif si mati.

“Tertuduh juga tahu tindakan itu boleh menyebabkan si mati tidak boleh bernafas kerana seluruh muka ditutup dengan bantal, manusia hanya bernafas melalui hidung,” katanya.

Tambahnya, malah tertuduh menghentikan perbuatan itu selepas mendapati mangsa tidak lagi melawan dan bernafas.

Dalam masa sama, beliau memaklumkan perbuatan tertuduh itu bermula daripada pergaduhan antara mereka apabila Amirul Amin dikatakan enggan menandatangani surat perjanjian supaya tidak meninggalkan mangsa.

“Tertuduh juga bersetuju cadangan pihak pendakwaan semasa pemeriksaan balas bahawa ada cara lain menenangkan si mati selain menekup menggunakan bantal.

“(Bagaimanapun) Mahkamah mendapati tiada unsur provokasi melampau sehingga menyebabkan tertuduh bertindak menggunakan bantal itu. Tertuduh mempunyai lebih masa memikirkan tindakan lebih rasional dan menenangkan si mati apabila enggan menandatangani surat itu,” jelasnya.

Bagaimanapun, Norliza menegaskan bahawa pembelaan tertuduh hanya bersifat penafian.

Pada prosiding tersebut, peguam mewakili Amirul Amin, Mohd. Norazihan Adnan memohon mahkamah mengenakan hukuman penjara paling minimum dengan mempertimbang usia anak guamnya itu yang masih.

“Semasa ditahan reman, tertuduh banyak melakukan aktiviti dilakukan pihak Koreksional sebelum dipindahkan ke penjara Kajang. Malah telah mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan keputusannya boleh dibanggakan,” jelasnya.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Farah Aqilah Ahmad Fuad menyatakan hukuman mesti melambangkan kepentingan awam dan memohon hukuman mati.

“Kematian mangsa adalah kejam dan menyeksakan. Hakikat tertuduh meneruskan tekanan tersebut biarpun si mati bergelut mencari nafas, menunjukan tiada sekelumit belas kasihan tertuduh terhadap si mati,” katanya.

Berdasarkan pertuduhan, Amirul Amin didakwa membunuh Nurul Shahira dekat sebuah rumah di Lorong Haji Mahat, Kampung Sri Pandan di sini pukul 7.18 petang pada 24 Ogos lalu.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta sebat tidak kurang 12 kali sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati.

Pada Oktober tahun lalu, Amirul Amin mengaku salah bagi kes sama  dan dipenjara selama tujuh tahun di bawah Seksyen 304b Kanun Keseksaan, bagaimanapun pendakwaan berjaya dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan yang memerintahkan tertuduh membela diri di Mahkamah Tinggi di bawah Seksyen 302 kanun sama.

Untuk rekod, tertuduh sebelum telah dipenjara tujuh tahun dibawah Seksyen 304b Kanun Keseksaan pada 17 Oktober tahun lalu.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan berjaya dalam rayuan terhadap hukuman itu dengan Mahkamah Rayuan memerintahkan tertuduh membela diri di Mahkamah Tinggi Klang di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – UTUSAN

Scroll to Top