am@hmetro.com.my
Teluk Intan: Sembilan jenazah anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang maut dalam nahas di Kilometer 15 Simpang Tangki Air di Langkap, di sini pagi tadi dibawa untuk istiadat penghormatan terakhir sebentar tadi.
Semua jenazah dibawa ke Pejabat FRU Unit 5 di Ipoh, dekat sini kira-kira jam 12.50 tengah malam tadi.
Terdahulu, tujuh jenazah anggota FRU yang beragama islam dibawa ke surau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak untuk disolatkan.
Tujuh jenazah itu dibawa dari Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan dalam tiga kumpulan berasingan.
Kumpulan pertama membabitkan tiga jenazah selamat tiba di Surau Ar-Rahman di IPD Hilir Perak jam 10.25 malam membabitkan Koperal Mohd Pozli Jaudin, 41; Koperal Mohamad Hilmi Mohd Azlan, 38 dan Konstabel Akmal Wafi Annuar, 28.
Tiga lagi jenazah menyusul kira-kira sejam kemudian membabitkan Koperal Amiruddin Zabri, 38; Koperal Muhamad Akmal Muhamad, 35 dan Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif, 33.
Keranda terakhir membawa jenazah Sarjan Mohd Roslan Abd Rahim, 46, pula tiba jam 12.39 malam.
Ketibaan jenazah diiringi Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin.
Solat jenazah berkenaan diimamkan oleh Ahmad Kamil Ibrahim dari Bahagian Agama dan Kaunseling, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.
Dua lagi jenazah anggota bukan Islam yang terkorban dalam nahas sama masing-masing mendiang Sarjan S Perumal dan mendiang Koperal Nurit Pandak turut dibawa ke Pejabat FRU Unit 5 untuk istiadat penghormatan terakhir.
Terdahulu media melaporkan sembilan anggota FRU meninggal dunia dalam kemalangan dengan lori muatan batu di Jalan Chikus-Sungai Lampam di sini, pagi tadi, sudah dikenal pasti.
Kemalangan sama turut mengakibatkan sembilan lagi anggota FRU cedera dan kini sedang dirawat di Hospital Teluk Intan.
Kejadian berlaku ketika 18 anggota FRU Unit 5 yang berpangkalan di Sungai Senam, Ipoh menaiki lori dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai penugasan perayaan Chitrapournami di Hilir Perak.
© New Straits Times Press (M) Bhd




