saufi@mediaprima.com.my
MENDIDIK anak pada hari ini bukan lagi sekadar memastikan mereka cukup makan, pakai dan bersekolah.
Ibu bapa kini berdepan cabaran yang jauh lebih kompleks berbanding generasi terdahulu, apabila dunia sudah semakin berkembang terutama segmen digital, persekitaran sosial dan sistem pendidikan turut berubah dengan pantas.
Pergaulan anak tidak lagi terhad kepada rakan sekolah atau jiran sebelah rumah, sebaliknya merentasi platform media sosial yang boleh diakses pada bila-bila masa.
Persoalan adab dan sopan santun turut tercabar apabila nilai yang diterap di rumah kerap bertembung dengan pengaruh luar yang lebih segera dan meluas.
Sementara itu, tuntutan akademik semakin tinggi, sedangkan masa ibu bapa untuk benar-benar hadir dalam kehidupan anak semakin terhad akibat kesibukan kerja.
Pakar Kaunseling Keluarga, Hushim Salleh berkata, ibu bapa berdepan dengan tekanan dan cabaran untuk memastikan anak mereka kekal terbendung daripada sebarang unsur negatif daripada luar.
“Anak-anak moden pada hari ini tidak seperti kita di era 1990-an dulu, kini semuanya berada di hujung jari, benda baik pun di hujung jari, perkara negatif pun sama.
“Apa yang penting adalah ibu bapa perlu mengeratkan hubungan mereka dengan anak-anak supaya golongan ini mudah untuk berkongsi jika berdepan sebarang bentuk ancaman.
“Kaedah pengajaran anak-anak di rumah juga perlu ditukar seiring zaman termasuk mengutamakan prinsip Islam supaya mereka tidak tersasar jika berdepan anasir luar,” katanya.
Hushim berkata, masalah sosial ketika ini sangat kompleks, manakala wujud segelintir ibu bapa yang terlalu sibuk dengan kerjaya sehingga seolah-olah mengabaikan perhatian mereka kepada anak-anak.
“Ini mengakibatkan anak-anak lebih rapat dengan gajet dan kawan-kawan, jadi mereka mudah untuk menerima cadangan daripada kawan-kawan,” katanya.
Cabaran paling ketara dilihat dalam aspek pergaulan digital.
Kerajaan sendiri mengakui keseriusan isu ini apabila Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866) digubal khusus untuk melindungi kanak-kanak di ruang siber.
Menerusi Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) mengikut akta berkenaan, kanak-kanak bawah usia 16 tahun kini tidak dibenarkan mendaftar akaun baharu di platform seperti Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube.
Langkah ini bukan tanpa sebab. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), merujuk kajian UNICEF 2022, mendapati kira-kira 100,000 kanak-kanak di Malaysia mengalami eksploitasi dan penderaan seksual dalam talian dalam tempoh setahun.
Namun, MCMC turut menegaskan penguatkuasaan undang-undang sahaja tidak mencukupi kerana literasi digital dalam kalangan keluarga sama penting bagi mengenal pasti risiko dan bertindak dengan berkesan.
Justeru, cabaran membesarkan anak pada era ini menuntut pendekatan yang lebih menyeluruh.
Ibu bapa perlu sentiasa melihat kepada sebarang perubahan tingkah laku anak-anak dan mengekalkan hubungan erat dengan mereka supaya sebarang permasalahan dapat dikongsi bersama.
© New Straits Times Press (M) Bhd




