Johor Bahru: Suami isteri berdepan detik cemas apabila kenderaan yang dinaiki melanggar seekor gajah di Kilometer 50, Jalan Johor Bahru – Mersing, dekat sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Yusof Othman berkata, dalam kejadian 9.20 malam itu, suami isteri masing-masing berumur 40 dan 38 tahun itu dalam perjalanan dari Kota Tinggi ke Mersing menaiki Perodua Alza.
“Secara tiba-tiba, empat ekor gajah melintas jalan di lokasi berkenaan, menyebabkan pemandu gagal mengelak lalu merempuh seekor daripada haiwan terbabit.
“Akibat perlanggaran itu, bahagian hadapan kenderaan mangsa mengalami kerosakan teruk. Bagaimanapun, kedua-dua mereka tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, kesemua gajah itu dipercayai masuk semula ke kawasan hutan berhampiran selepas kejadian, dan satu laporan polis dibuat oleh mangsa bagi tujuan dokumentasi dan rujukan insurans.
“Pihak berkuasa dinasihatkan meningkatkan pemantauan di kawasan itu memandangkan laluan berkenaan sering menjadi lokasi pergerakan haiwan liar, terutamanya pada waktu malam,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




