Aidil cipta kejutan di Terbuka Thailand

Aidil cipta kejutan di Terbuka Thailand

aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Aidil Sholeh Ali Sadikin melakar kejutan apabila menewaskan pemain berada di ranking lebih tinggi daripadanya pada pusingan pertama Terbuka Thailand.

Malah ia pencapaian terbaik Aidil yang berjaya menempah tiket kali pertama ke pusingan kedua kejohanan bertaraf Super 500.

Aidil yang menghuni ranking ke-48 dunia, berjaya menumpaskan pilihan China, Wang Zheng Xing di ranking 32 dunia dalam pertarungan sengit selama 59 minit di Stadium Nimibutr, Bangkok, hari ini dengan kemenangan 21-12, 19-21, 21-18.

“Alhamdulillah, syukur sangat. Hari ini saya cuba bermain tanpa terlalu banyak fikir. Saya hanya fokus untuk buat yang terbaik dan yakin dengan setiap pukulan,” kata Aidil.

Untuk rekod, Aidil turut mempamerkan prestasi meyakinkan musim ini apabila menjuarai Cabaran Antarabangsa Sri Lanka dan mara ke separuh akhir Masters Ruichang, Mac lalu.

Di pusingan kedua esok, Aidil bakal berdepan ujian lebih getir apabila menentang pilihan kelapan kejohanan dari China, Lu Guang Zu yang menewaskan Panitchaphon Teeraratsakul (Thailand) 21-15, 14-21, 21-19.

Sementara itu, beregu wanita negara, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing turut cemerlang apabila menewaskan gandingan Taiwan, Chen Su Yu-Hsieh Yi En 21-15, 18-21, 21-15.

Mereka akan menentang pasangan Indonesia, Meilysa Puspitasari-Rachel Rose di pusingan kedua.

Bagaimanapun dua beregu campuran negara terpaksa pulang awal selepas Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin yang berada di ranking ke-14 dunia serta pilihan ketujuh kejohanan tewas kepada pasangan tuan rumah Supak Jomkoh-Ornnicha Jongsathapornparn 21-15, 21-18, 21-17.

Ia kekalahan pusingan pertama ketiga berturut-turut buat mereka selepas Seluruh England dan Kejohanan Badminton Asia sebelum ini.

Turut tersingkir awal adalah pasangan Yap Roy King-Valeree Siow apabila tunduk kepada gandingan Korea Selatan, Ki Dong Ju-Jeong Na Eun 21-18, 21-17.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top