SPRM pastikan pegawai penuhi tahap kompetensi ditetapkan

SPRM pastikan pegawai penuhi tahap kompetensi ditetapkan

mhafis@mediaprima.com.my

Putrajaya: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan terus memastikan pegawainya, terutama yang belum disahkan dalam perkhidmatan memenuhi tahap kompetensi yang ditetapkan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Datuk Indera Junipah Wandi berkata, penekanan diberi kepada pembentukan pegawai yang bukan sahaja berpengetahuan dan mahir, tetapi juga berintegriti serta beretika tinggi.

“Inisiatif ini adalah langkah proaktif dalam membentuk modal insan SPRM yang berkualiti tinggi daripada peringkat awal kerjaya,” katanya ketika merasmikan Majlis Penutup Bengkel Kajian Impak Pegawai SPRM Dalam Tempoh 3 Tahun Selepas Penempatan (Kadet) di Port Dickson, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Turut hadir Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan SPRM, Tuan Mohammad Shahizan Abdullah.

Indera Junipah berkata, SPRM juga bekerjasama bersama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Jabatan Perdana Menteri menjalankan kajian impak ini bagi menilai aspek pengetahuan dan keberhasilan latihan dalam situasi sebenar tugas.

“Hasil kajian ini akan membantu SPRM memperkemas modul latihan serta strategi pembangunan kompetensi pegawai secara menyeluruh,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top