am@hmetro.com.my
Shah Alam: Selangor menyasarkan penurunan kadar pengangguran sehingga 2.0 peratus menjelang hujung tahun ini berbanding 2.2 peratus pada suku pertama tahun ini selaras status sebagai negeri maju di negara ini.
Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan negeri V Papparaidu berkata, pelbagai inisiatif sedang dan akan dilaksanakan termasuk menambahbaik serta menyediakan infrastruktur kepada semua pihak termasuk pelabur mahupun pencari kerja agar dapat terus melangkah ke hadapan.
“Di peringkat negeri, kita sudah berjaya mengurangkan kadar itu (berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia). Dan pada masa akan datang, Selangor adalah sebuah negeri yang sangat termaju, mungkin kita ke arah (sasaran pengurangan) 2.0 peratus.
“Kerajaan negeri sedang berusaha menambah baik dengan penglibatan syarikat-syarikat besar, syarikat multinasional (MNC) dalam jelajah karnival kerjaya yang dianjurkan.
“Sasaran kita lebih kepada pekerjaan berpendapatan tinggi. Selangor sebuah negeri yang paling maju dan kita perlu mencari cari syarikat-syarikat besar untuk mengangkat dan melatih pekerja-pekerja di Selangor,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Sambutan Hari Pekerja Peringkat Negeri Selangor di Bangunan SUK, di sini, hari ini.
Mengulas jelajah karnival kerjaya di setiap daerah katanya, beliau berharap pencari kerja tidak terlalu memilih kerjaya dan mengambil peluang dengan tawaran pekerjaan yang datang.
“Sepanjang tahun lalu, kerajaan negeri sudah membantu lebih 3,000 orang mendapat kerja dan sambutan jelajah karnival kerjaya ini memberangsangkan termasuk dalam kalangan graduan,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan pasaran buruh Malaysia mencatatkan kemajuan stabil pada suku pertama 2025 dengan petunjuk utama menunjukkan peningkatan bilangan penduduk bekerja dan kadar penyertaan tenaga buruh manakala kadar pengangguran menurun.
© New Straits Times Press (M) Bhd




