Kemalangan pulang dari sekolah: Ibu maut, 2 anak cedera

Kemalangan pulang dari sekolah: Ibu maut, 2 anak cedera

am@hmetro.com.my

Gua Musang: Mengambil anak dari sekolah menjadi tugas terakhir buat seorang suri rumah di sini, apabila dia terkorban dalam kemalangan di Kilometer 42 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dekat Felda Chiku 3, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 1.30 petang itu, Rohaya Jaafar, 42, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala dua anak lelakinya yang berusia sembilan tahun dan 14 tahun cedera.

Suami Rohaya, Mohd Rizlan, 47, berkata, ketika kejadian isterinya memandu Perodua Kancil, dalam perjalanan untuk pulang ke rumah mereka di Felda Chiku selepas mengambil anak lelaki di asrama.

Katanya, dia dimaklumkan kejadian oleh anak perempuan ketika berada di tempat kerja dan segera ke hospital.

“Sudah menjadi rutin isteri akan mengambil anak dari asrama setiap kali cuti termasuk hujung minggu, dan dia akan maklumkan kepada saya.

“Kejadian hari ini sangat mengejutkan kami sekeluarga. Namun kami tetap reda dengan apa yang berlaku,” katanya yang memaklumkan jenazah arwah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Rantau Manis.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Penolong Kanan Penguasa Bomba Nor Azizi Che Noh berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 1.55 petang.

“Kemalangan babitkan kereta dan lori 10 tan dan sebaik tiba, operasi segera dilaksana bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

“Mangsa yang juga pemandu kereta disahkan meninggal dunia dan diserah kepada polis untuk tindakan lanjut, manakala dua kanak-kanak cedera dihantar ke hospital untuk rawatan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top