Abang, adik 'hip hop'

Abang, adik 'hip hop'

am@hmetro.com.my

Penyanyi rap baharu yang semakin meningkat, Killa Driz, 23, menyifatkan hubungannya dengan dua nama besar dalam muzik hip hop tempatan, Joe Flizzow, 46, dan SonaOne, 37, bukan saja terjalin atas dasar muzik, tetapi lebih kepada ikatan seperti adik dan abang dalam dunia seni.

Killa Driz atau nama sebenarnya Muhamad Idris Shah Mohd berkata, ikatan persaudaraan dengan Joe dan SonaOne begitu kukuh, malah mereka sentiasa memberi nasihat dan bimbingan berharga dalam kehidupannya.

“Saya rasa Joe dan SonaOne ibarat abang saya. Joe sebagai abang sulung, manakala SonaOne sebagai abang tengah. Jika ada masalah dengan Joe, SonaOne pasti membantu.

“Ia hubungan persaudaraan yang rapat, di mana dinasihati mereka adalah perkara biasa. Malah saya juga mengharapkan untuk dinasihati kerana itu yang membuatkan saya menjadi insan lebih baik,” katanya.

Penyanyi lagu RAP$TAR ini turut menghargai keprihatinan Joe dan SonaOne yang sentiasa memberi tunjuk ajar dalam setiap aspek kerjanya, terutama dalam usaha memperbaiki diri sebagai artis baharu.

“Mereka berdua sentiasa meneliti dan membetulkan kesilapan saya. Perkara yang saya sangat hargai. Sebagai pendatang baharu, saya berusaha perbaiki apa yang perlu.

“Joe banyak membantu saya. Walaupun ada yang anggap dia seorang yang garang, tetapi dia banyak menyokong saya. SonaOne pula lebih banyak membantu dari sudut muzik dan produksi, manakala Joe lebih menumpukan kepada penulisan,” katanya.

Dalam pada itu, Killa Driz turut berkongsi rasa teruja untuk melancarkan album terbarunya nanti yang disifatkan sebagai salah satu karya terbaik yang dihasilkan sepanjang kariernya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top