am@hmetro.com.my
Butterworth: Sebuah restoran nasi kandar di sini, yang beroperasi dalam persekitaran kebersihan yang membimbangkan diarah tutup serta-merta dalam Op Bersepadu yang dijalankan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), semalam.
MBSP dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook (FB) agensi itu memaklumkan, operasi itu diketuai oleh Jabatan Perkhidmatan Kesihatan MBSP, dengan kerjasama Direktorat Penguatkuasaan MBSP dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Seberang Perai Utara.
Berdasarkan kenyataan itu, tindakan keras terhadap restoran itu diambil susulan pelbagai pelanggaran undang-undang yang dikesan.
“Antara tindakan diambil ialah penutupan premis serta-merta di bawah Akta Makanan 1983, yang dikeluarkan oleh PKD Seberang Perai Utara selepas mendapati tahap kebersihan premis berada di tahap membimbangkan.
“Dalam pada itu, sebanyak empat kompaun berjumlah RM4,000 serta dua notis atas kesalahan meletakkan halangan di tempat awam dan kegagalan mengemukakan visa pekerja asing yang sah turut dikeluarkan kepada pemilik restoran berkenaan,” katanya.
Tegasnya, operasi itu mencerminkan komitmen penuh pihak berkuasa dalam memastikan kebersihan, keselamatan dan pematuhan undang-undang di premis makanan berada pada tahap yang tertinggi.
“MBSP menegaskan tindakan penguatkuasaan akan terus diperhebat bagi mengekang premis yang gagal mematuhi peraturan.
“Selain itu, semua pengusaha premis makanan diminta supaya sentiasa mematuhi undang-undang berkaitan dan memastikan premis sentiasa bersih, selamat dan mematuhi standard yang ditetapkan demi kesejahteraan masyarakat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




