mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Legenda Manchester United, Ryan Giggs, menekankan pentingnya persaingan sengit dalam liga domestik bagi meningkatkan kualiti bola sepak termasuklah membabitkan saingan di negara ini.
Menurutnya, resipi terbabit diguna pakai di Liga Perdana Inggeris (EPL) yang menyaksikan tahap persaingan begitu tinggi setiap minggu.
“Ya, ia adalah persaingan yang anda perlukan, setiap minggu. Jadi anda lihat sekarang dalam Liga Perdana, kualitinya begitu tinggi berbanding dahulu mungkin hanya dua atau tiga pasukan (bersaing).
“Sekarang 10 pasukan atau selain daripada pasukan tercorot, semua orang boleh mengalahkan satu sama lain,” katanya dalam sidang media sempena Manchester United menentang Asean All-Stars di Stadium Nasional, Bukit Jalil di sini pada 28 Mei ini.
Giggs berkata, elemen daya saing ini amat diperlukan dalam liga tempatan, di samping peranan penting yang dimainkan oleh pasukan kebangsaan.
“Itulah yang kamu perlukan dalam liga domestik anda, kelebihan daya saing itu. Dan juga pasukan kebangsaan, jika pasukan kebangsaan beraksi dengan baik, itu boleh menambah kualiti kepada negara juga,” jelasnya.
Selain itu, bekas pemain sayap lincah itu turut menyentuh mengenai kepentingan gabungan pemain asing dan pemain tempatan dalam sesebuah liga dan pasukan.
“Tetapi ya, daya saing itu, campuran pemain asing tetapi juga tonggak tempatan dalam liga dan juga dalam pasukan, saya rasa ia sangat membantu.
“Ini kerana pemain asing yang masuk, kamu (pemain tempatan) boleh belajar perkara berbeza daripada mereka. Dan juga pemain asing boleh belajar daripada pemain tempatan apa ertinya bermain untuk kelab tertentu,” tambahnya lagi.
Beliau percaya, kombinasi ini mampu mewujudkan persekitaran pembelajaran yang positif dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan mutu permainan secara keseluruhan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




