Penyanyi popular, Fieya Julia akhirnya bersuara berhubung kenyataan rakan duetnya, Luqman Faiz yang menyebut dirinya bukan wanita idaman atau ‘taste’, sekali gus mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan peminat.
Menerusi satu perkongsian di Instagram Story (IGs), Fieya atau nama sebenarnya, Nur Syafiqah Sejali, 26, mengakui pada awalnya terguris dengan kenyataan berkenaan, namun menegaskan perkara itu tidak perlu diperbesarkan kerana hubungan mereka tidak lebih daripada sekadar sahabat baik.
“Saya sayang dia, saya sayang semua rakan-rakan artis Aries macam keluarga saya sendiri. Terima kasih atas keprihatinan anda semua, kami baik-baik saja. Maafkan dari pihak dia kalau ada kata-kata yang kurang menyenangkan,” tulisnya.
Menurut pelantun lagu Rumit itu, mereka sudah mengenali satu sama lain lebih tujuh tahun dan menganggap Luqman seperti adik sendiri.
“Perkara terasa tu normal, saya pun ada perasaan. Tapi saya marah sekejap je, lagipun benda ni memang gurauan dalam kalangan kawan-kawan.
“Cuma silapnya TERsebar kepada umum. Jangan risau, dia pun bukan taste saya sebab saya dah anggap dia macam adik saya sendiri,” katanya lagi.

Terdahulu, Luqman atau nama penuhnya, Luqman Abdul Halim Faiz, 24, menafikan dakwaan kononnya mereka bercinta meskipun kerap tampil mesra bersama sejak berkolaborasi dalam single Rumit.
Bagaimanapun, kenyataan Luqman mengenai ‘ciri-ciri wanita idaman’ didakwa telah menggores perasaan Fieya hingga mencetuskan reaksi netizen.




