hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Lelaki yang membuat ugutan jenayah terhadap anggota penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di media sosial membabitkan isu penjaja belon, bulan lalu, akan dituduh esok.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, pertuduhan terhadap pemilik akaun Facebook (FB) itu akan dibuat mengikut Seksyen 506 dan 505 (b) Kanun Keseksaan.
“Kes ugutan kepada pihak penguat kuasa, esok kita akan tuduh,” katanya ringkas pada Program Kesejahteraan Komuniti Bandar Selamat ‘Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bestari’ 2025 di PPR Desa Rejang, di sini, hari ini.
Pada 8 April lalu, media melaporkan, seorang lelaki ditahan polis selepas dipercayai membuat ugutan jenayah terhadap anggota penguat kuasa DBKL di media sosial.
Rusdi dilaporkan berkata, lelaki berusia 57 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras pada 12.10 tengah malam.
Beliau berkata, penahanan dibuat susulan laporan yang diterima daripada pegawai penguat kuasa DBKL pada 1.07 tengah hari, 7 April lalu.
“Laporan itu mengenai tangkap layar perbualan kumpulan WhatsApp mengenai ancaman dan hasutan kepada penguat kuasa DBKL.
“Pengadu menyatakan tangkap layar berkenaan adalah ancaman, hasutan dan berbaur ugutan dengan niat terhadap penguat kuasa DBKL sebagai penjawat awam yang menguatkuasakan undang-undang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




