ferzalfie@hmetro
Kuala Lumpur: Barisan pemain legenda hoki negara dari skuad Piala Dunia 1975 menerima penghormatan istimewa sempena ulang tahun ke-50 pencapaian bersejarah mereka menerusi satu majlis penuh nostalgia anjuran Sports Flame di sebuah hotel di sini, hari ini.
Lebih bermakna, keberangkatan Sultan Pahang, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyerikan lagi majlis yang mengimbau semangat juang skuad negara yang menamatkan kejohanan di tempat keempat di laman sendiri, satu pencapaian terbaik dalam sejarah hoki negara.
Sports Flame diasaskan empat bekas wartawan sukan George Das, R Velu, Datuk Lazarus Rokk dan Datuk Fauzi Omar yang terus komited mengekalkan serta meraikan khazanah sukan tanah air khususnya dari era 60-an hingga 80-an.
Edisi kali ini dianjurkan bersama agensi perhubungan awam dan penjenamaan sukan, ShekhinahPR, yang juga penaja rasmi program berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif ShekhinahPR, Christopher Raj berkata, majlis berkenaan bukan sekadar perjumpaan, sebaliknya tanda penghargaan buat sumbangan besar bekas atlet negara.
“Menjadi satu penghormatan buat kami menyaksikan legenda-legenda ini berkumpul semula mengimbau kenangan gemilang mereka. Semangat ini wajar dijadikan inspirasi buat generasi atlet yang seterusnya,” katanya.
Biarpun Malaysia tidak meraih pingat pada edisi 1975, semangat luar biasa skuad negara nyata mencuri hati rakyat Malaysia dengan aksi penuh semangat dan keberanian di Stadium Merdeka.
Legenda hoki negara, Datuk Poon Fook Loke turut berkongsi kenangan manis bersama rakan sepasukannya.
“Lima dekad sudah berlalu, tapi ikatan kami kekal kukuh. Kemenangan bukan segalanya, tetapi persahabatan dan legasi yang ditinggalkan, itu yang tiada siapa boleh ambil,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




