Semua pusat dan badan penyelidikan kerajaan diwajibkan memberi peluang latihan awal kepada pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bermula bulan depan sebagai usaha memperkukuh pembangunan tenaga mahir negara dalam bidang baharu termasuk kecerdasan buatan (AI), kriptologi dan peralihan tenaga.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu bertujuan memperluaskan lagi akses latihan industri berteknologi tinggi kepada pelajar TVET agar mereka lebih bersedia memenuhi keperluan sebenar industri masa kini.
Beliau berkata, Malaysia memiliki ratusan pusat penyelidikan termasuk yang berada pada kedudukan membanggakan di peringkat antarabangsa, namun peluang pendedahan industri kepada pelajar masih perlu diperkasakan.
“Maka saya mahu pastikan dan Ketua Setiausaha Negara (KSN) akan menyelaraskan supaya semua badan latihan penyelidikan kerajaan itu diwajibkan mulai bulan depan berikhtiar untuk memberi peluang latihan awal antara 50 hingga 100 orang di setiap TVET yang terpilih,”kata beliau.
![]()
Kredit Foto: Amir Irsyad | Pejabat Perdana Menteri
Katanya lagi, pelajar yang terlibat akan ditempatkan di beberapa institusi penyelidikan utama negara termasuk MARDI serta Pusat Teknologi dan Pengurusan Kriptologi Malaysia (PTPKM), selain badan penyelidikan lain di bawah penyelarasan Majlis Sains Negara.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari TVET Negara 2026 di Dataran Putrajaya hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Kredit Foto: Amir Irsyad | Pejabat Perdana Menteri
Menurut Anwar, inisiatif itu akan menjadikan lulusan TVET dalam bidang terpilih berada pada tahap lebih tinggi, bahkan boleh mengatasi lepasan Ijazah Sarjana Muda.
Justeru, beliau menegaskan struktur gaji dan upah kepada graduan TVET juga perlu disesuaikan dengan kepakaran mereka yang semakin tinggi.
“Ini bagi saya suatu ikhtiar tambahan, kerana saya lihat umpamanya ada bidang-bidang pengkhususan penyelidikan yang telah mencatat satu prestasi luar biasa.
Kredit Foto: Amir Irsyad | Pejabat Perdana Menteri
“Peruntukan dari kerajaan juga tinggi tetapi seperti saudara sedia maklum, mereka masih juga terikat dari program pendedahan, latihan dan dalam rangka kerja mereka tak termasuk latihan.
“Jadi saya tambah sekarang dan mungkin dalam masa minggu depan KSN akan panggil semua badan-badan penyelidikan ini dan menetapkan mereka harus ambil dari setiap TVET, beberapa orang yang terpilih untuk diberikan kursus tambahan supaya ada kemahiran dan kepakaran yang belum diperolehi dalam sistem pendidikan awam hari ini,”ujarnya.
Kredit Foto: Amir Irsyad | Pejabat Perdana Menteri
Dalam pada itu, beliau mengakui walaupun universiti tempatan mempunyai kekuatan dalam bidang kejuruteraan, masih terdapat jurang dengan keperluan sebenar industri global.
“Bila kita tanya syarikat-syarikat utama; NVIDIA, Infineon, AWS dah ada bidang IT dan juga beberapa bidang kripto, tahap latihan itu tidak sampai ke standard yang diperlukan.
“Umpamanya, Infineon dengan USM rapat hubungannya, tetapi ternyata lulusan kejuruteraan kita masih perlu pendedahan beberapa disiplin kemahiran tambahan dan ini boleh dipenuhi oleh syarikat.
“Sinergi ini sedang berjalan tapi saya kata mengapa tidak boleh badan penyelidikan kita yang ratusan itu juga memberikan pendedahan selain daripada apa yang mereka lakukan untuk universiti, ini satu program khusus untuk TVET,” katanya.




