hafizithnin@mediaprima.com.my
Melihat kepetahan ibu kepada lima cahaya mata ini di media sosial dan lontaran suaranya yang ‘mahal’ mengendalikan pelbagai majlis kerajaan dan diraja, siapa sangka wanita itu dahulunya tidak pernah terbayang dia mampu menggalas tugas itu.
Malah anak kelahiran Tumpat, Kelantan ini juga sebenarnya seorang yang pemalu ketika berada di sekolah dan tatkala mendapat peluang pekerjaan di Jabatan Penerangan Malaysia (Japen) 30 tahun lalu, awalnya dia ingin berhenti bekerja kerana merasakan diri tidak layak berada di jabatan itu.
Segala-galanya kerana sifat pemalu yang begitu menebal dan tidak mahu berucap di khalayak ramai. Sehinggakan di awal kerja, Suriani Ghazali, 50, berusaha mencari pekerjaan lain.
Namun, segala-galanya berubah apabila dia terpaksa akur dengan tugasan yang diberikan ketua untu k menjadi pengacara majlis.
Bermula dari sikap yang ‘takut-takut’ untuk mencuba, kini dia bersyukur kerana ‘paksaan’ itu menjadi titik tolak untuknya menerokai dunia pengacaraan.
Perjalanan selama 26 tahun menjadi pengacara bukan kecil-kecil anak pengalamannya. Lebih 3,000 majlis sudah dikendalikannya sebagai pengacara termasuk majlis di peringkat daerah, negeri, kebangsaan yang membabitkan tetamu kenamaan dan diraja.
Suriani berkata, pada 2005 baru dia diberi kepercayaan mengendalikan program di istana dan ketika itu dia sudah mengikuti pelbagai kursus untuk menggilap bakatnya.
“Sebenarnya untuk mengendalikan sesuatu majlis sebagai pengacara ia bukan sesuatu tugas mudah kerana kita diberi kepercayaan penganjur untuk menghidupkan majlis berkenaan.
“Malah apabila berdepan protokol tertentu, kita perlu faham mengenainya supaya tidak tersalah sebut dan mampu melontarkan perkataan yang jelas untuk khalayak memahami perkara disampaikan,” katanya.
Katanya, sepanjang menjadi pengacara majlis dia tidak dapat nafikan mengenai perasaan gugup tatkala memegang mikrofon dan ia adalah perkara biasa berlaku sehingga kini.
“Apabila saya memberikan perkongsian mengenai pengacaraan, ramai yang bertanya mengenai perasaan gugup. Sebenarnya perkara itu adalah semula jadi berlaku kepada sesiapa sahaja meskipun kita sudah berpengalaman termasuk saya.
“Jadi, perkara paling penting ialah kita perlu ‘memanaskan’ diri terlebih dahulu iaitu datang awal ke majlis, memahami keseluruhan teks atau berinteraksi dengan khalayak sebelum acara bermula boleh membantu mengelakkan rasa gugup berkenaan,” katanya.
Tambahnya, antara perkara yang tidak boleh dilupakan sepanjang pengalaman menjadi pengacara majlis ialah dia tersalah sebut gelaran kerabat diraja pada satu majlis istana.
“Sebenarnya ketika itu, saya sudah pun menulis di teks gelaran berkenaan, tetapi mulut saya terucap gelaran lain. Jadi, dari situ saya belajar untuk sentiasa fokus apabila mengendalikan sesebuah acara.
“Kadangkala kita sudah menulis, tetapi apabila membacanya, keluar perkara lain. Jadi, mengalas tugas pengacara majlis bukan sesuatu perkara mudah kerana perlu bersedia dari segi mental terutamanya,” katanya.
Katanya, kadangkala ada yang melihat tugas pengacara majlis itu sesuatu yang mudah iaitu hanya membaca teks, tetapi sebenarnya tidak tepat kerana tugas pengacara majlis turut perlu memastikan orang sentiasa segar dalam sesuatu acara itu.
“Sebenarnya sebagai pengacara majlis, kita perlu wujudkan kepercayaan orang kepada kita untuk mengendalikan majlis itu. Ia bukan sesuatu yang mudah dan perlu menimba ilmu daripada pengalaman.
“Perkara yang saya titikberatkan adalah menjaga disiplin dengan datang awal, menyiapkan teks dan memahaminya, menjaga intonasi dan memahami ‘lenggok’ acara yang hendak dikendalikan itu,” katanya.
Ditanya mengenai pantang dalam penjagaan suara katanya, sehari sebelum mengendalikan acara, dia tidak mengambil minuman berais kerana khuatir boleh menyebabkan suara serak.
“Dari segi makanan saya tiada pantang. Saya gemarkan makanan pedas. Namun, dua atau tiga hari sebelum bertugas biasanya saya mengelak daripada mengambil makanan berkenaan kerana khuatir sakit perut,” katanya.
Tambahnya, menjadi pengacara majlis sebenarnya boleh memberi pendapatan tambahan kepada mereka yang mempunyai pengalaman dalam bidang itu dan pada hari ini ramai yang sudah menerokainya.
“Perkara paling penting ialah kita sentiasa mencari ilmu untuk memantapkan cara mengendalikan majlis dan kekal merendah diri walaupun sudah berpengalaman mengendalikan pelbagai acara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




