am@hmetro.com.my
Lahad Datu: Tindakan seorang lelaki memukul anaknya dengan tali sawat pemasaan (timing belt) di Kampung Sharip, di sini, membawa padah apabila dia ditahan polis tengah hari semalam susulan laporan dibuat bekas isterinya.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu Superintendan Jimmy Panyau berkata, kejadian dilaporkan bekas isteri suspek itu selepas menerima gambar kecederaan anak perempuannya berusia 13 tahun yang dihantar mangsa menerusi WhatsApp.
“Ibu mangsa melaporkan anaknya itu lebam di bahagian belakang, rusuk dan kaki kanan akibat dipukul ketika membantu bapanya membaiki kenderaan.
“Susulan itu, suspek yang berusia 38 tahun ditahan pada 12.10 tengah hari oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
