hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Sebanyak 313 ‘kuda putih’ ditugaskan untuk menjalankan tugas mengiring dan mengawal lalu lintas bermula 23 Mei hingga 28 Mei ini bersempena dengan penganjuran Sidang Kemuncak Asean Ke-46.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, selain motoked, 34 kereta peronda (MPV) dan 190 motosikal kecil turut digerakkan.
“Ia membabitkan kekuatan 789 petugas trafik dan kesemuanya akan terus bersiap sedia sepanjang persidangan berlangsung.
“Daripada jumlah itu, 647 adalah bantuan daripada kontinjen negeri lain yang sudah melapor diri bermula hari ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Amanat Petugas Sumber Manusia Sidang Kemuncak Asean Ke-46 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, hari ini.
Mohd Yusri berkata, semua petugas yang bertugas akan melakukan raptai pada 21 hingga 22 Mei ini membabitkan elemen motoked, kawalan laluan dan kawalan lokasi.
“Operasi penguatkuasaan juga akan dilakukan di sekitar ibu kota bagi memastikan tiada halangan pada laluan yang ditetapkan.
“Sebarang halangan lalu-lintas atau parkir akan diambil tindakan tunda oleh petugas trafik selain Op Samseng Jalanan dan motosikal dilaksanakan secara berterusan,” katanya.
Menurutnya, kenderaan perdagangan dan berat juga dilarang untuk memasuki pusat bandar pada waktu puncak.
“Kenderaan berat dilarang memasuki pusat bandar bermula hari ini bermula 6.30 pagi hingga 7.30 pagi, dan 4.30 petang hingga 7.30 malam.
“Tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap pengguna jalan raya yang berdegil dan melakukan kesalahan sepanjang tempoh itu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd