am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pemandu Nissan Navara yang merempuh motosikal ditunggang suami isteri sehingga menyebabkan mereka tercampak dan parah di Lebuhraya Utara Selatan dekat Plaza Tol Duta, dua minggu lalu, kini dipenjara enam bulan menggantikan hukuman asal 30 hari.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi, K Muniandy, selepas menyemak semula hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Majistret ke atas jurujual aksesori kereta, K Darmaraju, 32.
Bagaimanapun, Muniandy mengekalkan denda RM12,000 serta penggantungan lesen memandu selama lima tahun seperti diputuskan sebelum ini.
Pada 13 Mei lalu, Majistret Khairunnisak Hassni menjatuhkan hukuman penjara 30 hari bermula dari tarikh tangkapan pada 11 Mei serta denda RM12,000 atau penjara 12 bulan, jika gagal membayar denda selepas tertuduh mengaku bersalah memandu secara melulu di Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke pusat bandar kira-kira jam 2.30 petang pada 10 Mei.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sabri Othman dalam hujahnya hari ini menyatakan hukuman penjara 30 hari dan denda RM12,000 yang dikenakan sebelum ini tidak mencerminkan matlamat pindaan undang-undang serta komitmen Parlimen dalam melindungi hak dan keselamatan pengguna jalan raya.
“Denda RM12,000 sudah dibayar tertuduh. Hukuman penjara 30 hari berlalu sekelip mata berbanding penderitaan mangsa yang mengalami kecacatan kekal dan bergantung sepenuhnya kepada keluarga serta rawatan hospital.
“Untuk makluman mahkamah, Suhailiza Shamsudin, 49 (pembonceng motosikal) masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat pendarahan di kepala,” katanya.
Beliau turut memaklumkan kegagalan mahkamah majistret mempertimbangkan kepentingan awam dalam menjatuhkan hukuman telah menimbulkan kritikan orang ramai yang mendesak tindakan lebih tegas serta hukuman lebih berat dikenakan terhadap pemandu Nissan Navara itu.
“Pihak pendakwaan memohon agar hukuman bersifat pencegahan dikenakan bukan sahaja sebagai pengajaran kepada tertuduh, tetapi juga kepada masyarakat agar tidak mengulangi perbuatan sama,” katanya.
Menurut Mohd Sabri, kes itu seharusnya menjadi peringatan kepada orang ramai mengenai risiko, kesan dan akibat daripada pemanduan secara melulu sambil menegaskan kepentingan awam perlu diberi penekanan dalam kes seumpama itu.
Beliau turut meminta mahkamah mengambil kira tindakan tertuduh yang memandu secara berbahaya dengan memecut laju dan memotong motosikal dari arah kanan, sedangkan motosikal berkenaan sedang bergerak lurus di lorong kiri paling kiri.
“Tertuduh juga terus meninggalkan lokasi kejadian tanpa berhenti atau memberi sebarang bantuan selepas merempuh motosikal dinaiki mangsa.
“Akibat perlanggaran itu, penunggang motosikal, Faizal Mat, 53, mengalami patah tulang selangka dan luka di pergelangan kaki, manakala pembonceng, Suhailiza mengalami pendarahan di kepala, patah pergelangan kaki serta retak tulang rusuk kanan.
“Kedua-dua mangsa dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut. Kejadian ini jelas menunjukkan betapa seriusnya impak akibat pemanduan laju dan melulu oleh tertuduh,” katanya.
Beliau berkata, seorang saksi kejadian turut mengesahkan kelakuan tertuduh berdasarkan rakaman kamera papan pemuka (dashcam) berdurasi satu minit yang menunjukkan kenderaan Nissan Navara dipandu laju melanggar bahagian kanan motosikal, menyebabkan Faizal hilang kawalan manakala Suhailiza tercampak dari motosikal itu.
Pendakwa raya memaklumkan Darmaraju telah mengabaikan keselamatan pengguna jalan raya lain.
“Kesalahan dilakukan tertuduh bukan sahaja menyebabkan kerugian harta benda, malah membabitkan dua mangsa yang terkesan akibat pemanduan melulu oleh tertuduh.
“Komitmen untuk menjaga keselamatan pengguna jalan raya dapat dilihat melalui hukuman penjara yang panjang dan denda yang tinggi sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
© New Straits Times Press (M) Bhd




