JELEBU: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun mati lemas ketika berkelah di Taman Eko Rimba Jeram Toi di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Jelebu, Superintenden Azizan Said berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira pukul 5.44 petang daripada seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun yang juga anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM).
Katanya, mangsa datang ke lokasi berkenaan bersama ahli keluarganya untuk berkelah sebelum kejadian berlaku.
“Difahamkan mangsa bersama ibunya telah tergelincir dan jatuh ke dalam kolam buatan, namun ibu mangsa berjaya menyelamatkan diri manakala kanak-kanak tersebut terus tenggelam.
“Ibu mangsa memaklumkan anaknya tidak pandai berenang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azizan berkata, mangsa ditemukan di dasar kolam oleh pengunjung yang berada di lokasi kejadian sebelum dibawa ke Hospital Jelebu.
Beliau berkata, bedah siasat dijalankan hari ini dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). – UTUSAN




