redzuan.muharam@hmetro.com.my
Johor Bahru: Bukan puluhan namun ratusan hadiah diterima Amir Asyraffudin Abd Aziz daripada anak didiknya sempena sambutan Hari Guru baru-baru ini.
Kisah Amir Asyraffudin, 29, menarik perhatian warganet selepas memuat naik video di TikTok menunjukkannya menari keriangan dengan dikelilingi bungkusan hadiah pemberian murid.
Bercerita lanjut, Amir Asyraffudin atau dikenali Cikgu Misai yang mengajar Bahasa Melayu dan Pendidikan Jasmani di sebuah sekolah rendah di sini mengakui tidak pernah terlintas di fikirannya untuk menerima hadiah sebanyak itu ketika sambutan Hari Guru.
“Ini tahun kelima saya berkhidmat sebagai guru dan setiap tahun memang terima hadiah daripada anak murid walaupun saya tak harap pun sebenarnya.
“Tahun lepas dapat banyak juga dan tahun ini rezeki terima lagi tapi jujurnya setiap tahun saya teruja nak tengok apa hadiah paling ‘rare’ yang anak murid beri.
“Belum sempat buka semua bungkusan tapi setakat ini ada pelembut pakaian dan rempah kari. Mungkin idea itu datang daripada ibu bapa mereka juga,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Menurut Amir Asyraffudin, semua hadiah bermakna dan mahal buatnya kerana ia pemberian anak didiknya.
“Ucapan murid dengan tulisan tangan di atas kertas pun mahal bagi saya kerana itu juga tanda penghargaan mereka.
“Tapi paling tak dapat saya lupakan dan menyentuh hati adalah sewaktu menerima hadiah pemadam dibalut dengan buku latihan daripada seorang anak murid yang tinggal di rumah anak yatim.
“Saya hargai sangat dan terima kasih kepada semua anak murid juga ibu bapa yang berkongsi rezeki dengan beri hadiah, ucapan dan mendoakan saya.
“Hanya Allah SWT dapat membalasnya dan sebagai guru, hadiah paling bermakna adalah bila lihat anak didik jadi seorang manusia,” katanya.
Berhubung perkongsian di laman sosial, Amir Asyraffudin menerima komen bercampur baur daripada warganet.
“Ramai yang positif tapi ada segelintir kata saya seolah mengemis dan ‘lapar’ perhatian dengan kongsi video berkenaan.
“Hakikatnya, saya cuma nak berkongsi kegembiraan tapi tak terkesan kerana sudah bersedia terutama daripada segi mental kerana saya aktif di laman sosial jadi memang akan ada komen sebegitu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




